Bursa Malaysia lonjak 1.1 peratus, hampir semua sektor catat keuntungan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia melonjak 1.1 peratus hari ini selepas kenaikan pasaran mula dijana dengan hampir semua sektor yang diterajui kaunter tenaga mencatatkan keuntungan.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memperoleh 16.98 mata kepada 1,555.59 untuk ditutup pada kedudukannya harian tertinggi berbanding penutupan Isnin iaitu pada 1,538.61.

Indeks penanda aras dibuka 0.11 mata lebih baik pada 1,538.72 dan kemudiannya mencecah paras terendah harian pada 1,537.94.

Kelebaran pasaran juga mencerminkan pengukuhan berterusan dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 594 berbanding 419, manakala 460 kaunter tidak berubah, 825 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkembang kepada 3.68 bilion unit bernilai RM2.94 bilion daripada 3.48 bilion unit bernilai RM2.07 bilion yang disaksikan semalam.

Ketua Penyelidikan & Perunding Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata, sektor tenaga sedang bergerak sejajar dengan minyak mentah Brent pada masa ini pada AS$83 setong, menandakan titik tertingginya pada 2024.

"Dengan pendapatan korporat komponen FBM KLCI yang dijadualkan pada minggu ini dan seterusnya, peniaga sedang mencari peluang dalam syarikat-syarikat yang memiliki asas yang kukuh.

"Tambahan pula, pengumuman data perdagangan luar Malaysia pada petang ini bagi Januari 2024 mendedahkan angka eksport yang positif, mencadangkan potensi peningkatan dalam produktiviti serta pendapatan korporat, sekali gus menggariskan kekuatan asas ekonomi Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Mohd Sedek menjangkakan pelabur asing untuk kekal menjadi pembeli bersih pada bulan ini.

Bagaimanapun, tambahnya, sentimen berhati-hati dijangka untuk FBM KLCI esok kerana pelabur sedang menunggu petunjuk daripada hasil minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS).

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menambah keyakinan pelabur turut disemarakkan dengan pemulihan dalam pasaran serantau utama, didorong oleh pembelian lewat, berikutan keputusan China untuk menurunkan kadar utama pinjaman lima tahunnya sebanyak 25 mata asas kepada 3.95 peratus.

Sementara pasaran kekal positif, potensi aktiviti pengambilan untung mungkin muncul susulan kenaikan mendadak itu.

"Oleh itu, kami telah menaikkan jajaran sasaran FBM KLCI mingguan kami kepada antara 1,540 dan 1,560, dengan rintangan serta-merta pada 1,570 dan sokongan pada 1,530," tambahnya.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi berkaitan indeks mendapat daya tarikan dengan 27 kaunter berada di wilayah positif, ianya diterajui oleh Petronas Chemicals, yang meningkat 25 sen kepada RM7.09.

YTL Power serta Sime Darby menokok 12 sen setiap satu, masing-masing kepada RM3.92 dan RM2.63, Public Bank naik lima sen kepada RM4.48, Tenaga Nasional melonjak sebanyak 16 sen kepada RM11.36, manakala Axiata bertambah 10 sen kepada RM2.89.

Bagi saham aktif, Dialog naik 34 sen kepada RM2.20, manakala TWL serta Ekovest turun setengah sen masing-masing kepada 3.0 sen dan 51.5 sen, Hong Seng tidak berubah pada 2.0 sen, Bumi Armada menokok 3.5 sen kepada 59.5 sen, manakala Velesto meningkat 1.5 sen kepada 28 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 128.56 mata kepada 11,549.21, Indeks FBMT 100 mencatatkan keuntungan sebanyak 130.25 mata kepada 11,198.62, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 147.95 mata kepada 11,625.93, Indeks FBM melonjak 78.25, Indeks ACE FBM adalah lebih baik sebanyak 15.30 mata kepada 4,880.60.

Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan bertambah 102.55 mata kepada 17,354.21, Indeks Perladangan adalah lebih tinggi sebanyak 44.62 mata kepada 7,343.36, Indeks Tenaga merekodkan peningkatan 50.89 mata kepada 928.27 dan Indeks Perkhidmatan Perindustrian memuncak sebanyak 928.21. mata kepada 177.80.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.46 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 2.27 bilion unit bernilai RM1.83 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 653.32 juta unit bernilai RM94.67 juta daripada 707.89 juta unit bernilai RM114.17 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula berkembang kepada 543.82 juta saham bernilai RM138.19 juta berbanding 483.31 juta saham bernilai RM129.89 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 357.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian ( 452.74 juta); pembinaan (140.20 juta); teknologi (339.13 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (113.04 juta); hartanah (322.94 juta); perladangan (68.49 juta); REIT (17.20 juta), dana tertutup (35,500); tenaga (414.39 juta); penjagaan kesihatan (54.19 juta); telekomunikasi dan media (44.55 juta); pengangkutan dan logistik (61.18 juta) serta utiliti (76.35 juta). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!