Pelancaran kapal kontena MTT Bintangor perkukuh kolaborasi logistik Nestlé, MTTS

NESTLE Malaysia dan MTT Shipping (MTTS) terus memperkukuh kolaborasi logistik menerusi majlis restu kapal kontena baharu MTTS, MTT Bintangor di Westports, Pulau Indah, Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Majlis tersebut mencerminkan hubungan logistik yang lama terjalin antara kedua-dua pihak dengan kargo Nestlé diangkut menggunakan kapal MTTS melalui ejen penghantaran yang dilantik hampir sedekad lamanya.
Sebagai pemain industri tempatan yang kukuh, Nestlé Malaysia dan MTTS berkongsi keutamaan seperti kebolehpercayaan bekalan, ketahanan operasi, kesalinghubungan serantau serta komitmen terhadap kelestarian.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, MTT Bintangor memainkan peranan penting dalam meningkatkan ketahanan dan fleksibiliti rantaian bekalan syarikat.
“Selain itu, ia turut menyokong kemampuan kami untuk memenuhi keperluan pengguna di seluruh Malaysia termasuk Malaysia Timur sambil memperkukuh keterhubungan serantau.
“Kerjasama kami dengan MTTS mencerminkan tumpuan bersama terhadap kecemerlangan operasi, ketahanan jangka panjang dan pertumbuhan lestari dalam logistik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTTS, Datuk Seri Kenny Ong berkata, MTT Bintangor mencerminkan komitmen syarikat terhadap operasi maritim lestari dan kecemerlangan operasi disokong teknologi moden yang cekap tenaga.
“Ia juga menekankan kepentingan kerjasama jangka panjang dengan pelanggan seperti Nestlé serta mewujudkan nilai tambah untuk semua pihak berkepentingan ketika kami bersama-sama menyokong operasi rantaian bekalan yang boleh dipercayai serta berdaya tahan,” katanya.
Terdahulu, majlis restu kapal itu diketuai oleh Godmother kapal tersebut, dengan upacara simbolik menabur bunga di dek kapal sebagai tanda harapan bagi keselamatan, perjalanan lancar dan operasi yang efisien sepanjang tempoh perkhidmatan kapal.
Majlis turut dihadiri oleh wakil-wakil Nestlé Malaysia dan MTT Shipping.
MTT Bintangor memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan produk Nestlé secara efisien di laluan perdagangan domestik dan ASEAN, memastikan ketersediaan produk makanan dan minuman asas secara konsisten.
Sebagai syarikat Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) terkemuka di Malaysia, Nestlé Malaysia mempunyai kehadiran operasi dan komersial yang kukuh di Malaysia Timur.
Syarikat itu juga mengeksport produk halal yang dihasilkan di Malaysia ke seluruh rantau, dengan pasaran ASEAN menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah jualan eksport.
Melalui kerjasama erat dengan salah satu syarikat perkapalan domestik terbesar di Malaysia, Nestlé kini lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang berubah, mempercepat masa penghantaran dan meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan khususnya ke Sabah serta Sarawak yang mana ketahanan rantaian bekalan adalah kritikal.
Pada masa sama, dengan kapasiti 1,836 unit bersamaan 20 kaki (TEU), MTT Bintangor menyokong perkhidmatan domestik dan serantau MTTS serta menyumbang kepada operasi rantaian bekalan yang tahan lasak.
Kapal tersebut turut dilengkapi untuk mengangkut kargo yang sensitif kepada suhu, sesuatu yang amat penting bagi produk Ais Krim dan Konfeksi Nestlé di mana kawalan suhu dan kecekapan penghantaran adalah kritikal.
Dalam pada itu, Nestlé Malaysia dan MTTS juga sama-sama mengutamakan agenda kelestarian.
Nestlé sedang mengorak langkah mencapai matlamat dalam pelan hala tuju Emisi Bersih Sifar dan memenuhi matlamat ESG yang ditetapkan, manakala MTTS sedang menyelaraskan operasi dengan objektif pengurangan karbon jangka panjang menuju ¾ neutral karbon menjelang 2050, selari dengan inisiatif meningkatkan kecekapan armada.
Usaha bersama berkenaan menyokong logistik yang lebih bertanggungjawab dan bersedia untuk masa depan, selaras dengan pelaburan berterusan Nestlé Malaysia bagi memperkukuh infrastruktur logistik dari hujung ke hujung.
Ringkasan AI
- Nestlé Malaysia dan MTT Shipping memperkukuhkan kolaborasi logistik dengan majlis restu kapal kontena baru, MTT Bintangor di Pelabuhan Klang
- Hubungan antara Nestlé dan MTT Shipping telah berlangsung hampir sedekad, mencerminkan kemitraan dalam logistik
- MTT Bintangor meningkatkan ketahanan dan fleksibiliti rantaian bekalan
- Nestlé Malaysia menyokong keperluan pengguna di seluruh Malaysia
- Kapal MTT Bintangor mempunyai kapasiti 1,836 unit TEU dan dilengkapi untuk mengangkut kargo yang sensitif kepada suhu, penting untuk produk seperti ais krim Nestlé
- Nestlé Malaysia dan MTT Shipping berfokus pada kelestarian, dengan Nestlé berusaha mencapai Emisi Bersih Sifar dan MTTS menuju neutral karbon menjelang 2050
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
