LBS catat keuntungan bersih tertinggi

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM596.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 58.9 peratus bagi kewangan suku keempat (Q4FYE2023) bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 (FYE2023).

Peningkatan ketara sebanyak 60.2 peratus adalah hasil segmen pembangunan hartanah yang menyumbang RM571.2 juta kepada jumlah keseluruhan hasil. Keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan juga mencatat peningkatan tinggi, mencecah RM41.1 juta sekaligus membawa kepada peningkatan 31.2 peratus.

Bagi tahun kewangan berakhir 2023, LBS mencatatkan PAT sebanyak RM159 juta, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 15.6 peratus.

Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan hasil sebanyak 6 peratus, mencecah RM1.83 bilion. Lonjakan ini dipengaruhi daripada peningkatan aktiviti pembinaan projek pembangunan yang sedang rancak berjalan.

Segmen pembangunan hartanah, mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, iaitu sebanyak 95.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Projek pembangunan utama seperti KITA@Cybersouth, Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, projek Idaman dan Prestige Residence memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan hasil ini.

No Image Caption

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr) Lim Hock San, berkata, LBS telah memperolehi keputusan kewangan yang amat cemerlang bagi tahun 2023, dengan hasil sebanyak RM1.83 bilion menandakan pencapaian tertinggi kumpulan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

“Keputusan kewangan positif ini menunjukkan asas kukuh yang telah dibina oleh LBS untuk fasa seterusnya. LBS teruja dan akan terus mengambil pendekatan optimis dan berhati-hati untuk berhadapan dengan momentum pertumbuhan pada tahun mendatang.

“Jualan belum dibil sebanyak RM2.0 bilion akan menyediakan kumpulan dengan prospek kewangan yang stabil bagi dua hingga tiga tahun akan datang. Kini, LBS terlibat dengan 19 projek yang sedang berjalan.

“Kami berhasrat untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion pada tahun ini daripada pelbagai projek pembangunan dengan GDV sebanyak RM3.51 bilion, dibina di lokasi-lokasi strategik seperti Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, LBS tekad untuk memastikan pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus (ESG) yang baik.

“Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian LBS yang diberikan Penilaian Bon Impak ‘Emas’ oleh MARC Ratings Berhad merupakan bukti komitmen ESG kami.

“Menerusi program Misi Hijau yang menyasarkan biodiversiti, tenaga, air dan pengurusan sisa dengan jalinan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change untuk projek hijau, kami bermatlamat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Setakat 31 Disember 2023, simpanan bank tanah kumpulan meliputi kawasan seluas 2,767 ekar meletakkan LBS kekal bersaing bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,”katanya.