Bursa malaysia kekal rendah pada tengah hari

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

BURSA Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, didorong oleh kebimbangan mengenai prospek kadar faedah selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengesahkan jangkaan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak akan menurunkan kadar faedahnya dalam masa terdekat.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.18 mata kepada 1,545.22 daripada 1,552.40 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.69 mata kepada 1,550.71.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 464 berbanding 396 manakala 471 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.03 bilion unit bernilai RM1.10 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd percaya, minat belian yang kukuh secara berterusan daripada warga asing akan mengurangkan potensi penurunan daripada pengurangan aktiviti pengambilan untung yang baik semalam selepas meningkat 97 mata setakat ini.

"Selain itu, minat untuk mengambil risiko untuk pasaran sedang pesat membangun akan kembali dengan perubahan strategi Fed, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh pada 2024 sejajar dengan unjuran sebanyak 3.1 peratus untuk pertumbuhan global dan jangkaan langkah yang lebih agresif dari China untuk memulihkan ekonominya yang lembap,” katanya dalam nota penyelidikan.

Di peringkat serantau, pasaran kebanyakannya positif dengan penanda aras Jepun, Nikkei melepasi paras tertinggi sepanjang masa yang dicatatkan pada 1989 untuk mencecah 39,029.00 pada dagangan tengah hari ini.

Artikel Berkaitan:

Indeks Hang Seng meningkat 0.15 peratus kepada 16,528.01 dan sama dengan Malaysia, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.51 peratus kepada 3,200.68.

"Petunjuk serantau yang positif akan memberikan pemangkin belian kepada saham tempatan pada bahagian akhir sesi dagangan,” kata peniaga.

Saham wajaran tinggi YTL Power merosot 10 sen kepada RM3.80, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.48 dan Tenaga Nasional berkurangan 12 sen kepada RM11.26.

Sime Darby Plantation meningkat empat sen kepada RM4.56 dan Maxis menambah satu sen kepada RM3.80.

Bagi saham aktif, Reneuco tidak berubah pada 9.5 sen manakala Hong Seng dan Minetech, masing-masing meningkat setengah sen kepada 2.5 sen dan 18 sen.

Notion naik 10 sen kepada 41.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 22.70 mata kepada 11,499.13, Indeks FBMT 100 berkurangan 25.02 mata kepada 11,150.95 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 7.62 mata kepada 11,575.19.

Indeks FBM 70 meningkat 75.22 mata kepada 15,590.89 dan Indeks FBM ACE naik 3.33 mata kepada 4,840.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 51.27 mata kepada 17,324.89, Indeks Perladangan berkurangan 3.27 mata kepada 7,325.59, Indeks Tenaga susut 1.31 mata kepada 933.46 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.03 mata kepada 177.69. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!