Worldwide Holdings tunai zakat perniagaan RM2 juta

ANAK syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings), menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun kewangan 2026 (haul 2025).
Penyerahan bayaran zakat oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada Jumaat.
Norazlina Zakaria berkata, sejak mula beroperasi, Worldwide Holdings sentiasa memberi keutamaan kepada pembayaran zakat perniagaan dengan niat memperoleh keberkatan terhadap pendapatan tahunan syarikat, di samping menunaikan kewajipan serta komitmen kami sebagai entiti perniagaan tempatan.
"Kami berharap sumbangan ini dapat membantu LZS merealisasikan serta memperkukuh perancangan mereka, khususnya dalam pembangunan sosioekonomi rakyat di Selangor," katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama jelas beliau, seiring dengan peranan LZS, Worldwide Holdings turut komited dalam menyokong pembangunan sosioekonomi rakyat Selangor menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), ‘Worldwide Prihatin’.
Antara inisiatif terbaharu yang dirangka sempena Ramadan Al-Mubarak ialah program turun padang bagi mengagihkan sumbangan kepada asnaf fakir miskin di sekitar kawasan operasi projek serta agihan kepada masjid dan surau.
Selain itu katanya, Worldwide Holdings juga memperuntukkan sebahagian dana bagi melaksanakan program berteraskan pendidikan dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), di samping bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi penganjuran pesta buku.
“Selaras dengan tema ‘Pendidikan’ yang merupakan antara teras utama program CSR ‘Worldwide Prihatin’, kami berharap inisiatif yang dilaksanakan akan mendorong penglibatan lebih aktif Worldwide Holdings dalam usaha meningkatkan taraf serta kualiti hidup rakyat menerusi aspek pendidikan, khususnya di Negeri Selangor.
"Kami percaya pelaburan berterusan dalam pendidikan bukan sahaja mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing dan mampan," katanya.
Ringkasan AI
- Worldwide Holdings Berhad menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor untuk tahun kewangan 2026
- Penyerahan zakat disempurnakan oleh Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
- Worldwide Holdings memberi keutamaan kepada pembayaran zakat dengan niat mendapat keberkatan pendapatan tahunan
- Sumbangan zakat bertujuan membantu LZS dalam pembangunan sosioekonomi rakyat Selangor
- Selain zakat, Worldwide Holdings turut menyokong pembangunan sosioekonomi menerusi program CSR 'Worldwide Prihatin' dan inisiatif pendidikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
