Netanyahu akan disingkirkan selepas Perang Gaza tamat

Penduduk Israel semakin hilang kepercayaan terhadap pemimpin ekstremis ini. Foto Agensi
Penduduk Israel semakin hilang kepercayaan terhadap pemimpin ekstremis ini. Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - "Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak akan dapat mengekalkan kuasanya selepas operasi ketenteraan di Genting Gaza berakhir.”

Rancangan penyingkiran pemimpin ekstremis itu dilaporkan rangkaian media tempatan, Ynet pada akhir minggu lalu berdasarkan sumber dalaman Parti Likud pimpinan Netanyahu.

“Sesiapa yang menjadi Perdana Menteri pada 7 Oktober akan hilang jawatan selepas Perang Gaza tamat,” ujar laporan itu memetik kenyataan anggota kanan Likud yang sememangnya merujuk kepada Netanyahu.

Pemimpin dihimpit skandal rasuah itu berdepan desakan supaya mengadakan pilihan raya awal, namun beliau menegaskan sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik dan ia hanya akan dilakukan beberapa tahun akan datang.

Keputusan tinjauan pendapat menunjukkan tahap sokongan ke atas beliau dan anggota Likud telah menurun sejak Perang Gaza tercetus lebih empat bulan lalu malah kaji selidik dilakukan Institut Demokrasi Israel mendapati lebih dua pertiga penduduk Tel Aviv mahu Pilihan Raya Umum diadakan sejurus konflik tersebut berakhir.

Kedudukan Netanyahu semakin tergugat setelah keputusan tinjauan pada awal bulan lalu menunjukkan parti pembangkang berpotensi menguasai sebanyak 75 daripada 120 kerusi di Knesset (Parlimen) jika pemilihan tersebut berlangsung dalam masa terdekat.

Parti pembangkang, Parti Yesh Atid menyifatkan kenyataan melulu tentang Perang Gaza sejak akhir-akhir ini jelas memperlihatkan Netanyahu tidak layak menggalas tugas Perdana Menteri.

“Israel memerlukan perubahan. Pilihan raya adalah jalan penyelesaiannya, ” katanya lagi. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!