Israel ugut hujan peluru lebih ganas di Genting Gaza

Seorang pemuda Palestin membantu untuk memindahkan penduduk dari bangunan kediaman di Rafah, selatan Genting Gaza yang musnah dibedil rejim Zionis. - Foto AFP
Seorang pemuda Palestin membantu untuk memindahkan penduduk dari bangunan kediaman di Rafah, selatan Genting Gaza yang musnah dibedil rejim Zionis. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Rejim Zionis mahu melancarkan serangan udara lebih ganas ke atas Genting Gaza menjelang kempen pencerobohan melalui darat seperti yang dicanangkan sebelum ini.

Khabar buruk buat penduduk wilayah terkepung itu diumumkan selepas Pentagon pada Ahad mengesahkan campur tangan mereka di Asia Barat bertujuan untuk memperkukuhkan pertahanan di rantau tersebut bagi menghadapi kebangkitan Iran dan sekutunya.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Daniel Hagari dengan angkuh menyatakan ia akan memperhebatkan kempen pengeboman kononnya untuk mengurangkan risiko ke atas anggota mereka apabila operasi darat bermula.

"Bermula hari ini, hujan peluru lebih dahsyat akan dilancarkan. Oleh itu, saya menggesa penduduk di tengah dan utara Gaza supaya berpindah ke selatan demi keselamatan mereka," ujarnya merujuk kepada amaran sama yang dikeluarkan terhadap lebih sejuta penduduk di kawasan tersebut lebih seminggu lalu.

Ketika ini, anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah berkumpul di kawasan bersempadan Gaza dan hanya menunggu arahan komander untuk bertindak.

"Gaza berpopulasi padat. Musuh sedang bersiap siaga. Kami juga sedang bersiap sedia untuk menangkis serangan mereka," kata Ketua Turus, Leftenan Jeneral, Herzi Halevi ketika melawat briged infrantri.

Sementara itu, pemerintah Hamas menyuarakan rasa kecewa dengan penghantaran bantuan kemanusiaan yang terhad ke wilayah tersebut berikutan kira-kira 1.4 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal.

"Bantuan yang tiba yang terdiri daripada 20 trak tidak mencukupi. Kami menggesa komuniti antarabangsa supaya memberi lagi tekanan kepada rejim Tel Aviv bagi memberi akses kemasukan kepada ribuan lagi trak bantuan," tegasnya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

>Pada Ahad, angka korban penduduk Palestin meningkat lebih 4,651 orang termasuk 1,873 kanak-kanak selepas konflik Hamas-rejim Zionis tercetus pada 7 Oktober lalu.

>Data agensi bantuan antarabangsa mendapati lebih 40 peratus struktur kediaman musnah atau separa rosak akibat dibedil Israel.

>Serangan terbaharu di Genting Gaza pada tengah malam Ahad telah meragut lebih 55 nyawa dan lebih 30 kediaman turut musnah dalam tempoh beberapa jam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!