Sokong PM: Zulkafperi tak pernah bincang dalam mesyuarat bahagian

Zulkafperi sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikannya wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian.
Zulkafperi sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikannya wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian.
A
A
A

TANJONG KARANG - Tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat bahagian parti itu.

Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, tiada perbincangan dilakukan di bahagian itu sama ada secara dalaman atau terbuka, sebaliknya ia keputusan Zulkafperi secara peribadi.

Nurul Syazwani
Nurul Syazwani

"Saya difahamkan orang (pengikut) kiri dan kanan beliau (Zulkafperi) pun tak tahu (tindakannya menyokong Perdana Menteri), sebaliknya ia tindakan peribadi yang tidak melibatkan Bersatu bahagian ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Nurul Syazwani turut mendedahkan beliau dan Ketua Serikandi Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Haslina Hussin serta beberapa ahli parti itu tidak pernah dipanggil Zulkafperi bagi menghadiri sebarang mesyuarat Bersatu bahagian berkenaan.

Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang memberitahu, tindakan Zulkafperi itu dianggap tidak adil dan berniat jahat.

"Bagi saya, kalau beliau hendak memberi tumpuan kepada parti, tidak ada ahli atau jawatankuasa yang diketepikan dalam mesyuarat bahagian.

"Beliau bukan sahaja gagal sebagai Ahli Parlimen, tetapi gagal sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tanjong Karang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kenyataan Zulkafperi kononnya ketiadaan peruntukan sebagai alasan menyokong Perdana Menteri dianggap alasan remeh dan tidak bertanggungjawab.

"Sikap dan tindak tanduk Zulkafperi yang mengetuai Bersatu bahagian ini sudah dihidu sejak dari awal lagi.

"Kita semua tahu bagaimana Zulkafperi mengetuai bahagian ini dan pergerakan beliau seolah-olah serupa ada, tetapi sebenarnya tiada," jelasnya.

Pada 24 Januari lalu, Zulkafperi menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar, tetapi mengakui masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati parti itu.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu yang terlebih dahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman.