Tiada ahli Parlimen Bersatu dari Pahang sokong PMX - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah menolak dakwaan bahawa dua ahli Parlimen Bersatu di Pahang antara 10 lagi ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Saifuddin, pendedahan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berhubung perkara itu disifatkan sebagai satu propaganda politik.

"Hanya enam ahli Parlimen Bersatu telah memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan setakat yang saya tahu tiada lagi yang akan berbuat demikian termasuk dari Pahang.

"Di Pahang ini hanya saya dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah sahaja dari Bersatu, jadi insya-ALLAH dakwaan itu tidak berlaku," katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Jumaat.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, tindakan enam ahli Parlimen Bersatu itu terbahagi kepada dua kes.

"Lima orang yang pertama berbeza kes dengan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi tetapi saya tidak boleh sebutkan di sini kerana di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin parti.

"Walau apapun Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah pun bermesyuarat bagi membincangkan tindakan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata, Bersatu akan meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya bagi menghalang tindakan khianat itu berulang lagi pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa pengurusan parti akan meneliti butiran pindaan perlembagaan itu," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Bersatu akan memperkasakan sayap bersekutu di seluruh negara termasuk di 14 bahagian di Pahang.

Menurutnya, langkah itu antara usaha bagi menarik sokongan undi bukan Melayu.

"Sebenarnya Bersatu telah menubuhkan sayap bersekutu dalam kalangan ahli bukan Melayu dan pada pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu ada beberapa calon Bersatu dipilih dari sayap itu.

"Kita memang berusaha untuk memperkuatkan sayap bersekutu termasuk di Pahang.

"Setakat ini daripada 14 bahagian Bersatu di Pahang, tujuh sudah ada sayap bersekutu dan tujuh lagi telah diarahkan berbuat demikian," jelasnya.