Projek PSI: Hanya 100 nelayan masih enggan terima SIMP

Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).
Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).
A
A
A
GEORGE TOWN - Hanya 100 nelayan yang masih tidak menandatangani saguhati melalui Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) susulan pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) di selatan pulau negeri ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Zakaria Ismail berkata, kebanyakan mereka yang sudah menerima saguhati itu merupakan nelayan separuh masa dan sudah berusia.

Menurutnya, hanya dua unit nelayan tidak menandatangani untuk menerima saguhati berkenaan iaitu Unit Nelayan Sungai Batu dan Unit Nelayan Teluk Tempoyak.

"Yang dah tandatangan lebih daripada 50 peratus. Hanya lebih kurang 100 nelayan yang masih bertahan, tidak menerima setakat ini. Mereka dari Unit Nelayan Sungai Batu dan Teluk Tempoyak.

"Mereka yang tandatangan SIMP ini merupakan nelayan yang sudah berusia, jadi alasan mereka menerima saguhati yang ditawarkan adalah (mereka) tak larat untuk menangkap ikan di lokasi yang lebih jauh," katanya pada sidang akhbar di Unit Nelayan Sungai Batu di sini baru-baru ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, ramai nelayan mula menandatangani tawaran SIMP selepas menyedari tiada jalan penyelesaian walaupun pelbagai diusahakan telah dilakukan.

Rata-rata nelayan berkata, mereka tiada jalan lain berikutan kerja tapak sudah bermula pada 1 September tahun lalu selain semakan semula keputusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu juga masih belum didengar oleh Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar.

Kata beliau, nelayan di Unit Teluk Tempoyak tidak menerima saguhati berkenaan adalah kerana tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan.

"Sebahagian nelayan di Teluk Tempoyak menerima kesan daripada projek berkenaan sama dengan Sungai Batu. Sungai Batu paling terkesan, paling teruk.

Artikel Berkaitan:

"Apabila mereka (nelayan Teluk Tempoyak) ditawarkan dengan pakej ex-gratia tahap 2, sudah tentu mereka tidak mahu kerana mereka menerima kesan yang sama dengan nelayan di Sungai Batu sedangkan di Sungai Batu, mereka ditawarkan dengan tahap satu.

"Sebab itu mereka membantah, tidak mahu terima. Kita akan cuba dapatkan untuk membolehkan nelayan Teluk Tempoyak juga menerima ex-gratia tahap 1 seperti yang disyorkan oleh kerajaan negeri," ujarnya lagi.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan cadangan SIMP merangkumi pakej pemberian saguhati selain program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan dan skim perumahan.

Nelayan yang akan menerima manfaat tersebut terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap 1 adalah mereka dari kawasan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Bagi tahap 2, mereka adalah dari Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong.

Jumlah yang ditawarkan adalah mengikut lokasi unit nelayan dan ia berhasrat untuk menjadikan nelayan berdaya usaha dalam meneruskan pekerjaan mereka.

Tekong dan awak-awak dari unit tahap 1 masing-masing akan menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi tahap 2 akan menerima RM13,200 dan RM5,400.

Tekong tahap 1 akan ditawarkan bot sepanjang 8.2 meter dan enjin berkuasa kuda 60 atau 75.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.