PSI didakwa bakal ubah demografi penduduk

Kerja awal tapak sedang dijalankan di kawasan Projek PSI sejak September lalu. Gambar kecil: Muhamad Fauzi
Kerja awal tapak sedang dijalankan di kawasan Projek PSI sejak September lalu. Gambar kecil: Muhamad Fauzi
A
A
A

GEORGE TOWN - Pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dilihat bakal mengubah demografi kependudukan yang akan mengancam survival ekonomi dan sosial tempatan.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhamad Fauzi Yusoff berkata, selain itu, penduduk tempatan yang terkesan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan selepas pekerjaan asal mereka tidak dapat diteruskan lagi.

Beliau berkata, isu asrama pekerja yang dianggarkan menempatkan 40,000 pekerja asing di kawasan itu juga bakal mencetuskan masalah sosial, kesihatan dan keselamatan.

"Sebelum ini, hasil tangkapan laut yang diperolehi dari kawasan tambakan tersebut lumayan dan telah dipasarkan kepada pemborong tempatan.

"Selain itu, hasil laut di kawasan itu juga, dapat dinikmati oleh nelayan di Perak Utara dan Kedah.

"Bagaimanapun, amat dikesali apabila kawasan perairan tersebut telah dimusnahkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) ke-15 di sini.

Beliau berkata, lebih mengecewakan, kesan pembuangan selut hasil dari pelombongan pasir di Muka Head yang akan dibuang 12 batu nautika dari kawasan tersebut bakal mencemarkan dan memusnahkan ekosistem di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Besar kemungkinan, ia boleh sampai ke Pulau Langkawi kerana dihanyutkan oleh arus laut yang deras," katanya.

Muhamad Fauzi (Pas-Sungai Dua) turut mengambil contoh kejadian yang menimpa nelayan Tanjung Tokong dan Paramount disebabkan tambakan dan pembangunan di Tanjung Pinang dan Persiaran Gurney.

"Adakah kejadian tersebut tidak cukup memberi pengajaran tentang kesan kepada komuniti nelayan?

"Kesan ini telah menyebabkan 80 peratus hasil laut di kawasan tersebut lenyap," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada JAS Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September lalu dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.