Kerja-kerja di tapak Pulau Silikon tetap dijalankan - Kon Yeow

Kerja-kerja tapak di Pulau Silikon akan tetap dijalankan sehingga keputusan mahkamah diprolehi.
Kerja-kerja tapak di Pulau Silikon akan tetap dijalankan sehingga keputusan mahkamah diprolehi.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerja-kerja di tapak projek Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon berkeluasan 930.8 hektar tetap akan dijalankan seperti yang dirancang sehingga keputusan mahkamah diperoleh.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu perlu melalui proses mahkamah sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Setakat ini, kita masih meneruskan kerja di tapak kerana perkara ini baharu dimulakan dan ia perlu melalui proses mahkamah sebelum apa-apa keputusan yang boleh dibuat.

"Sebarang tindakan perlu menunggu perintah daripada mahkamah, jadi kita tunggu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen saman melibatkan beberapa pihak berhubung Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) pada 13 Februari lalu.

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

"Saya mengesahkan Pejabat Ketua Menteri telah menerima dokumen pada 13 Februari lalu yang mana, tarikh yang diberikan untuk pengurusan kes adalah pada 19 Februari ini.

"Kita telah menyerahkan perkara ini kepada Penasihat Undang-undang Negeri untuk menguruskannya.

Artikel Berkaitan:

"Beliau akan mengadakan sesi libat urus bagi pihak kerajaan dengan pihak-pihak yang dinamakan dalam tindakan undang-undang ini. Beliau akan mengambil tindakan sewajar terhadap saman yang difailkan," katanya.

Pada Rabu, tujuh nelayan bersama badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Semakan kehakiman itu dibuat pada 29 Disember 2023 untuk mencabar kebenaran merancang yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) pada 21 Ogos 2023 untuk projek mega berkenaan.

Sembilan pemohon telah menyaman Pengarah PLANMalaysia selaku responden pertama, Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang (responden kedua), Kerajaan Pulau Pinang (responden ketiga) dan pemaju projek SRS Consortium Sdn Bhd (responden keempat).

Sebelum ini, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS Pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Mei tahun lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.