Pulau Silikon: 1.21 hektar telah terbentuk dijangka siap 2032

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGE TOWN - Penambakan Pulau Silikon di bawah Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) telah dimulakan pada September lalu dengan kerja pemasangan boya bagi menandakan kawasan tapak projek selain tirai kelodak yang mengawal serta menangani serakan kelodak semasa kerja penambakan berjalan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja itu dijalankan selepas projek itu memperoleh kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 21 Julai lalu.

Menurutnya, setelah tirai kelodak selesai dipasang dengan baik, kerja pengisian pasir juga telah dimulakan di tapak.

"Setakat ini, seluas 1.21 hektar telah terbentuk di tapak pulau tersebut. Mengikut perancangan projek, bidang tanah pertama iaitu tanah industri yang akan dikenali sebagai Green Tech Park dijangka siap pada Disember 2025.

"Pulau Silikon yang berkeluasan 930.8 hektar dijangka siap ditambak sepenuhnya pada 2032," katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.

Berhubung isu kerosakan persekitaran laut akibat Projek PSI, Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek itu telah diluluskan pada April lalu.

Tambah beliau, laporan tersebut telah dikemukakan kepada orang awam untuk maklum balas dan disemak semula dengan teliti oleh pihak berkuasa berkaitan terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum kelulusan diberikan.

"Berdasarkan kelulusan Laporan EIA tersebut, kerajaan negeri wajib memastikan langkah-langkah mitigasi dilaksanakan mengikut 71 syarat yang dikenakan oleh JAS antaranya menjalankan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk manfaat nelayan dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM).

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri yakin pelaksanaan PEOM akan membuahkan hasil yang baik untuk kebaikan semua, terutamanya komuniti nelayan yang turut berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan program penanaman bakau dan pelabuhan tukun tiruan serta unjam," katanya.

Ujar beliau, langkah-langkah kawalan alam sekitar juga sedang dilaksanakan di tapak Projek PSI dengan teliti bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Projek PSI ini direka dengan mengutamakan pematuhan terhadap Environmental, Social & Governance (ESG) untuk menangani isu perubahan iklim serta dibangunkan selaras dengan Visi Penang2030, Sustainable Development Goals (SDG), Intergovernmental Panel of Climate Change (IPCC) dan Low Carbon Cities Framework (LCCF).

"Pembangunan Projek PSI ini menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif hijau," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam Projek PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar manakala Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut dibatalkan.

Pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja.