Ke mana hala tuju nilai ringgit kita

Adakah ringgit akan terus merosot atau kembali mengukuh kepada paras munasabah seperti diharapkan.
Adakah ringgit akan terus merosot atau kembali mengukuh kepada paras munasabah seperti diharapkan.
A
A
A

PADA tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan supaya kerajaan menggunakan khidmat pakar berpengalaman khususnya yang terlibat menyelamatkan negara ketika krisis kewangan Asia 1997 bagi menangani isu kejatuhan ringgit.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu juga dilaporkan pernah menyuarakan cadangan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) agar mengikat nilai ringgit tetapi cadangan itu ditolak.

Dua tahun lalu pula, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan supaya kerajaan mendapatkan bantuan pakar luar bagi mengelakkan ringgit terus merosot dengan teruk.

Tengku Razaleigh atau Ku Li berpandangan ringgit akan menyusut sehingga RM5.50 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat (AS$1) sekiranya kerajaan tidak memberi sepenuh perhatian kepada isu penting itu.

Ketika cadangan dilontarkan Ku Li, nilai ringgit pada waktu itu ialah RM4.40 berbanding AS$1.

Pada hari ini, nilai ringgit terus merosot iaitu RM4.77 berbanding dolar. Lagi 23 sen ringgit akan mencecah RM5.

Adakah ringgit akan terus merosot atau kembali mengukuh kepada paras munasabah seperti diharapkan?

Jika melihat kepada pandangan pakar kewangan, ringgit dijangka tidak akan jatuh sehingga RM5 kerana asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, Kementerian Kewangan (MOF) pernah menjelaskan bahawa penyusutan nilai ringgit lebih didorong oleh fenomena global dan pengaruh pasaran, bukan disebabkan kelemahan asas ekonomi negara atau kegagalan langkah-langkah yang diambil kerajaan BNM.

Namun di sebalik keyakinan itu, rakyat bawahan bimbang prestasi ringgit akan terus merosot dan memberi kesan besar kepada majoriti yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Tambahan pula, apabila fenomena global dikatakan antara penyebabnya maka kita wajar untuk berasa bimbang dengan prestasi ringgit.

Oleh itu, besar harapan rakyat supaya kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih agresif untuk kembali mengukuhkan ringgit agar harga barangan import di pasaran tidak terus melonjak.

Sewajarnya sudah ada perbincangan melangkaui sempadan politik untuk memikirkan kaedah bagi menaikkan kembali nilai ringgit Malaysia.

Ketepikanlah isu remeh-temeh yang tidak menguntungkan kerana cabaran yang ada di hadapan ini adalah lebih besar dan berat untuk diharungi.