PM perlu umum segera langkah atasi kejatuhan nilai ringgit - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

LARUT - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengumumkan segera langkah intervensi yang boleh dilakukan kerajaan dalam mengatasi kejatuhan nilai ringgit.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kelewatan dalam menyusun strategi yang tepat hanya memberi kesan lebih buruk terhadap kedudukan ekonomi negara.

"Hari ini kejatuhan nilai ringgit adalah paling rendah dalam masa 25 tahun, tetapi Perdana Menteri hanya diam. Seolah-olah langsung tidak ada rancangan atau nak memaklumkan kepada kita semua apa yang patut dilakukan.

"Beliau perlu buktikan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menentukan supaya harga ringgit tidak lagi jatuh merudum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok dekat Selama pada Sabtu.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, semasa negara menghadapi krisis kewangan dahulu, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan segera dengan menyusun pelbagai strategi agar mata wang negara tidak terus jatuh dan dapat dipulihkan.

Bagaimanapun katanya, keadaan sama tidak berlaku dalam pentadbiran sekarang kerana dilihat lebih membisu tanpa sebarang perancangan jelas.

"Jika terlampau teruk harga ringgit, boleh menyebabkan keseluruhan rantaian bekalan negara menjadi huru-hara.

Artikel Berkaitan:

"Kedudukan import dan eksport kita kebanyakan menggunakan mata wang dolar, jadi kalau dolar terlampau sangat kukuh menyebabkan ekonomi kita terjejas," katanya.