Gesa tubuh jawatankuasa khas perkasa enakmen jenayah syariah di Pahang

Rosli (tiga dari kanan) bersama sebahagian pimpinan Pas Pahang pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Rosli (tiga dari kanan) bersama sebahagian pimpinan Pas Pahang pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menggesa kerajaan negeri segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan mengkaji usaha memperkasakan enakmen jenayah syariah di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, langkah itu perlu supaya isu mencabar udang-undang syariah yang membawa kepada pembatalan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini tidak berulang.

Menurutnya, Pas Pahang bimbang kerana dalam enakmen jenayah syariah negeri Pahang juga mempunyai beberapa peruntukan kesalahan yang hampir sama.

"Kami bimbang, jika kerajaan negeri Pahang tidak bertindak segera, enakmen-enakmen tersebut ​juga berpotensi untuk dicabar.

"Sebab itu kami mahu tahu pendirian atau maklum balas daripada pihak kerajaan negeri dalam hal ini sama ada sedia menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji atau meminda peruntukkan sedia ada dalam enakmen jenayah syariah negeri serta tindakan-tindakan lain yang akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu, Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas Pahang, Mohd Zamri Ibrahim dan ketua Penerangan, Aireroshairi Roslan.

Rosli bagaimanapun berkata, ketika ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Rosli berkata, jawatankuasa yang akan ditubuhkan juga perlu satu had masa untuk membuat kajian dan mengemukakan cadangan solusinya sama ada sesuatu peruntukkan itu perlu kepada pindaan atau penambahbaikkan.

"Pas Pahang tiada masalah jika berlaku pindaan sekiranya bertepatan dan sesuai dengan rakyat.

"Dalam perkara ini, Pas Pahang sedia untuk berbincang bersama kerajaan negeri atau jika perlu kami mungkin mengadap Sultan Pahang bagi menyuarakan kebimbangan dan berkongsi cadangan dalam isu penting melibatkan negeri dan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Beliau berkata, Pas Pahang juga bercadang untuk membawa isu tersebut untuk dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang jika ada ruang dan kesempatan.

Sementara itu, Andasura berkata, Pas Pahang sedia berkerjasama dengan kerajaan negeri dalam perkara tersebut sekiranya diminta untuk bersama memberi pandangan dan cadangan.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu bersikap terbuka dalam isu ini dengan melibatkan semua pihak tanpa melihat kepada parti.

​"Implikasinya kalau terlalu lama atau lambat untuk bertindak, kita bimbang ia akan memberi kesan kepada kes-kes yang sedang berjalan," katanya.