Anggota jawatankuasa khas gubal undang-undang syariah dilantik dalam tempoh terdekat

Mohd Na'im ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mohd Na'im ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri berkenaan penggubalan undang-undang syariah, akan dilantik dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, senarai individu yang terlibat telah dimuktamadkan yang terdiri daripada golongan pakar perundangan, kehakiman serta pengamal undang-undang di Malaysia.

"Sasaran bertempoh atau time frame yang diperlukan oleh jawatankuasa ini dalam menyelesaikan masalah perundangan Islam atau isu berkaitan dengan kompetensi negeri khususnya untuk membuat undang-undang Islam akan ditetapkan dalam 'term of reference' selepas selesai pelantikan anggota Jawatankuasa khas tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ia bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) mengenai bila Jawatankuasa khas pemerkasaan undang-undang syariah akan ditubuhkan, individu yang terlibat dan jangka masa yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah perundangan agama.

Mohd Na'im berkata, perlantikan itu dilakukan selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), pada 28 Ogos lepas yang mahukan satu Jawatankuasa Khas berhubung perkara itu diwujudkan segera.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na'im berkata, buat masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk menswastakan pengurusan pensijilan halal.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masih lagi kekal sebagai entiti yang sah untuk memberi perakuan halal terhadap mana-mana barangan, makanan, mahupun perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu, katanya selaras dengan titah Sultan Sharafuddin semasa mempengerusikan mesyuarat MKI berkenaan yang mahukan supaya urusan persijilan halal peringkat domestik dan antarabangsa terus dikekalkan di bawah Jakim, MAIN dan jabatan agama Islam negeri.

Sementara itu, sesi penggulungan berkenaan turut menjadi hangat seketika selepas Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mencelah dan mendakwa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah membuat kenyataan mengelirukan berkenaan Minggu Solidariti Palestin yang diadakan di sekolah.

Tindakan itu telah menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Lim Lip Eng (PH-Kepong), RSN Rayer (PH-Jelutong), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Walaupun Ahmad Marzuk telah beberapa kali diarahkan menarik balik kenyataan itu oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng, namun beliau enggan berbuat demikian menyebabkannya diarah keluar dewan. - Bernama