Anak Cina Kelantan tak takut, berkhatan demi kebersihan, kesihatan

Koh Ming Zhe (tengah) berbual dengan seorang peserta Program Khatan Perdana, Aidil Putra Rashidi, 9, ketika Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah.
Koh Ming Zhe (tengah) berbual dengan seorang peserta Program Khatan Perdana, Aidil Putra Rashidi, 9, ketika Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang remaja Cina Koh Ming Zhe berusia 13 tahun tidak bimbang untuk berkhatan selepas dimaklumkan bapanya amalan itu dapat menjamin kebersihan dan kesihatan badan.

Ming Zhe memberitahu, bapanya, Koh Eyo Lee, 49, sentiasa menceritakan kebaikan berkhatan malah sudah menjadi sebahagian daripada amalan turun-temurun keluarga mereka.

"Bapa tidak memaksa saya tetapi banyak menerangkan perbezaan selepas bersunat apabila dewasa kelak," katanya kepada pemberita pada Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah.

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga mengakui tidak pernah memikirkan akan mengalami kesakitan atau masalah selepas prosedur berkenaan dan mengikut sahaja pendapat bapanya.

"Saya tidak kisah dan menerima sahaja nasihat bapa kerana paling penting saya lebih sihat selepas ini," katanya.

Sementara itu, Eyo Lee memberitahu, berkhatan menjadi satu kemestian dalam keluarga serta penduduk Cina di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas.

Kakak Koh Ming Zhe, Koh Pei Yee, 20 (kiri) membetulkan kain pelikat adiknya sebelum dikhatankan pada Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah.
Kakak Koh Ming Zhe, Koh Pei Yee, 20 (kiri) membetulkan kain pelikat adiknya sebelum dikhatankan pada Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah.

Eyo Lee berkata, amalan berkenaan bukan sahaja membabitkan seluruh keluarganya tetapi sebahagian besar penduduk Cina di kampungnya turut mengikut perkara sama kerana percaya dapat membantu menjaga kebersihan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, tidak sukar untuk berpantang yang dilakukan orang Melayu kerana kini hanya mengambil masa seminggu sahaja.

"Kami tiada sebarang kepercayaan khas ketika bersunat dan boleh mengikut pantang seperti yang dilakukan orang Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin memberitahu, jabatan berkenaan tidak menerima sebarang aduan berkaitan komplikasi selepas berkhatan secara tradisional.

Beliau juga yakin sudah tidak ada khatan secara tradisional kerana masyarakat lebih memilih kaedah moden yang lebih selamat dan cepat sembuh.

Jelasnya, jabatan kesihatan menitik beratkan keselamatan dan kualiti dengan menyediakan latihan secukupnya di bawah pakar pembedahan.

Seramai 60 kanak-kanak menyertai program berkhatan yang dilakukan kakitangan mahir dan terlatih.