Jho Low dakwa ada bukti, bertindak atas arahan Najib - Saksi

Dari kiri: Jasmine, Jho Low
Dari kiri: Jasmine, Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Low Taek Jho pernah mendakwa, sekiranya apa-apa terjadi kepadanya, ahli perniagaan dalam buruan itu mempunyai bukti menunjukkan semua tindakan yang dilakukan ialah mengikut permintaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-50 ini berkata, perkara itu timbul selepas dia menyoal Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low berhubung kemasukkan wang dalam akaun bekas Presiden UMNO ini.

"Saya tanya kepada Jho Low, kenapa begitu banyak wang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib, selepas saya tahu mengenai semua transaksi ini melalui media dan laporan disiarkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai 1MDB, pada sekitar 2015 dan 2016.

"Jho Low mengatakan ia adalah untuk dana politik Barisan Nasional khususnya UMNO," katanya.

Jasmine berkata, ia membabitkan transaksi wang ‘Security Deposit’ (wang deposit keselamatan) berjumlah AS$576,943,490 dan AS$790,354,855 dari akaun Aabar Investment PJS Limited (BVI) ke akaun Blackstone Asia Real Estate milik sekutu Jho Low iaitu Tan Kim Loong atau dikenali sebagai Eric Tan.

Katanya, dana berkenaan kemudian dimasukkan ke akaun-akaun lain termasuk kepunyaan Najib.

Selepas mendesak Jho Low mengenai transaksi itu, Jasmine berkata, ahli perniagaan kontroversi berkenaan menyuruhnya supaya tidak bimbang atau mengambil tindakan kerana dia akan menguruskan semua perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 71, membantah kenyataan Jasmine, dengan alasan ia merupakan suatu perkara berdasarkan dengar cakap.

Sementara itu, Jasmine berkata, Jho Low dilihat menyimpan dan memiliki kepala surat Pejabat Perdana Menteri yang kosong dalam satu sampul untuk kegunaan ahli perniagaan ini, sekiranya perlu.

“Saya nampak surat pejabat Perdana Menteri berkenaan dengan pelantikan Mohd Hazem Abdul Rahman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) di rumah Jho Low, di Kia Peng, di sini.

“Jho Low kata, dia akan membawanya kepada Datuk Seri Najib untuk ditandatangani,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan ini menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.