'Bukan mudah jadikan kampung baru Cina Tapak Warisan Dunia'

Kampung baru Cina - Gambar hiasan, gambar kecil: Borhan
Kampung baru Cina - Gambar hiasan, gambar kecil: Borhan
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan mudah untuk menjadikan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti yang dicadangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, usaha tersebut perlu melalui beberapa proses termasuk mengemukakan dokumen pencalonan kepada pihak sekretariat UNESCO sebelum melalui proses tapisan tertentu.

Ujarnya, bukan mahu menolak keistimewaan kampung baru Cina namun banyak lagi tempat menarik mempunyai unsur warisan boleh diketengahkan untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di negeri berkenaan.

"Antaranya Tapak FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS), Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh dan kapal korek bijih timah di Dengkil, jadi saya rasa kita (perlu lebih) fokus kepada warisan-warisan yang lebih bernilai," ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini media pernah melaporkan FRIM FPS dicalonkan kepada pihak UNESCO untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia bagi sesi penilaian 2024/2025.

"Kita fokus di situ dahulu dan kita tidak menafikan (keistimewaan kampung baru Cina) mungkin mereka (Persekutuan) boleh mencadangkannya namun pihak UNESCO akan menilai sebab hendak menjadikan sesuatu tempat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bukan mudah," ujarnya.

Terdahulu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Bagaimanapun, ia mengundang kritikan pelbagai pihak yang mendakwa cadangan berkenaan boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

UMNO dalam satu kenyataan turut menolak sekeras-kerasnya cadangan tersebut, dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.