ADUN Kampung Tunku ajak pemimpin politik lawat Kampung Baru Cina

Yi Wei
Yi Wei
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei menjemput pemimpin politik atau ahli akademik untuk melawat Kampung Baru Cina di kawasannya di Sungai Way, Selangor bagi bertukar-tukar pandangan dan melihat kepelbagaian kaum di kawasan tersebut.

Beliau berkata, Kampung Baru Cina di kawasannya yang ditubuhkan sejak 1949 di bawah Rancangan Briggs itu menjadi model perpaduan meliputi kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain dengan tarikan seperti Masjid al-Ridhwani, Tokong Leng Eng Tian Khiew Ong Tai Tay, Kuil Sri Sakthi Easwari serta gereja kecil.

Menurutnya, kawasan tersebut diasaskan bertujuan membendung ancaman komunis dan kira-kira 3,000 orang Cina dari kawasan Puchong, Damansara serta Jalan Klang Lama dipindahkan ke situ.

“Orang kampung tidak segan bercampur antara satu sama lain. Sambutan Aidilfitri terbuka kepada semua, tarian singa dan naga Persatuan Khuan Loke, kumpulan kompang masjid mengiringi perarakan keliling kampung semasa Perayaan Tanglung.

“Pada 12 Disember 2021, kami lancarkan ‘Koridor Sejarah Sungai Way’ iaitu muzium Kampung Baru pertama di Selangor, malah didirikan replika pintu gerbang yang mengandungi tulisan rumi, Cina, Jawi, dan Tamil.

“Tiada yang membantah, semua bangga kerana dapat menonjolkan kepelbagaian dan sejarah kampung kita,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Koridor Sejarah Sungai Way. Foto Foodveler
Koridor Sejarah Sungai Way. Foto Foodveler

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan agar Kampung Baru Cina di Selangor diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).

Artikel Berkaitan:

Yi Wei yang juga Setiausaha Antarabangsa Pemuda Sosialis DAP menegaskan, kriteria UNESCO sama sekali tidak menyebut tentang kepribumian dan memberikan status itu kepada sesebuah tapak warisan atau masyarakat yang berkaitan.

Tambah beliau, status tapak UNESCO hanya mengiktiraf kepentingan dari aspek teknologi, budaya, peristiwa bersejarah atau fenomena semula jadi yang unik.

“Jadi, usahlah ahli politik mengelirukan rakyat dengan hujah palsu, hentikan polemik perkauman.

“Antara sikap seorang pemimpin yang baik ialah keterbukaan kepada idea baru dan kesudian untuk berbincang.

“Sekali lagi saya hulurkan jemputan untuk melawat Kampung Baru Cina Sungai Way, jangan melihat isu pengiktirafan UNESCO melalui lensa perkauman atau ‘zero sum game’ semata-mata,” ujarnya.