Polis siasat dakwaan Nik Elin diugut bunuh

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Allaudeen
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan berhubung tiga laporan daripada peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mendakwa diugut susulan tindakan mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tiga laporan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Setakat ini, satu kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan arahan lanjut dan dua lagi kertas siasatan masih dalam siasatan.

"Ugutan yang diterima ini dipercayai susulan tindakannya memfailkan petisyen memohon deklarasi daripada Mahkamah Persekutuan bahawa 18 Seksyen di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan tidak berperlembagaan kerana kesemua seksyen terlibat telah digubal dalam undang-undang Persekutuan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pihak polis telah memohon bantuan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun terlibat.

"Orang awam dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur ugutan di media sosial.

"Sekiranya ingkar, tindakan tegas boleh diambil bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Nik Elin Zurina yang menjadi tetamu dalam wawancara eksklusif podcast 'Beyond the Headlines' bersama New Straits Times baru-baru ini menyatakan beliau telah membuat tiga laporan polis berhubung ugutan bunuh.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan tindakan mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.