Nik Elin terima banyak ugutan bunuh

Nik Elin Zurina
Nik Elin Zurina
A
A
A

SHAH ALAM - Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid membuat tiga laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya baru-baru ini.

Ia susulan tindakan mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, orang ramai patut membaca mengenai setiap peruntukan tersebut bagi memahami undang-undang dengan lebih baik.

"Banyak ancaman dalam hidup saya, begitu juga serangan secara dalam talian lain dan (ancaman untuk) 'sembelih' saya.

"Saya sudah tidak ingat berapa banyak ancaman yang diterima kerana semua individu ini tidak faham.

"Mereka hanya mengikut arahan pemimpin politik secara membuta tuli," katanya ketika menjadi tetamu dalam wawancara eksklusif podcast 'Beyond the Headlines' bersama New Straits Times.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nik Elin berkata, berikutan kes tersebut ramai pihak yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi fakta dan mempolitikkan isu itu sehingga mengelirukan orang ramai.

Ujarnya, langkah mencabar beberapa seksyen jenayah syariah dalam enakmen tidak mempunyai kaitan dengan politik.

"Islam mengajar kita tentang cinta, belas kasihan dan kedamaian tetapi tindakan mereka (ahli politik tertentu) adalah bertentangan dengan ini.

"Ini hanyalah cabaran (undang-undang) yang kami buat bagi pihak rakyat Malaysia.

"Mudah-mudahan mereka akan membuka minda mereka. Ahli politik memilih untuk mengambil langkah terdesak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!