Nik Elin sah ahli Muafakat Nasional

Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat.
Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mengesahkan beliau merupakan ahli Muafakat Nasional (MN) bagi menjawab segala dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Nik Elin berkata, beliau menyertai MN selepas dijemput oleh presidennya sendiri, Tan Sri Annuar Musa.

“Presiden MN sendiri jemput saya dan apabila menyemak laman sesawang mereka, ia sangat bagus dalam menekankan perpaduan, kasih sayang, kebebasan dan keadilan yang saya percaya bermanfaat untuk negara.

“Saya memohon keahlian secara dalam talian dan diluluskan serta-merta,” katanya ketika menjadi tetamu dalam wawancara eksklusif podcast 'Beyond the Headlines' bersama New Straits Times pada Ahad.

Sebelum ini, Nik Elin, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, menjadi bualan orang ramai apabila mengemukakan petisyen mencabar Perlembagaan berhubung peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada 25 Mei 2022.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam enakmen berkenaan adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Bagaimanapun, Nik Elin menjelaskan, beliau dan anaknya mencabar 18 peruntukan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kepentingan politik.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak disokong oleh sesiapa, hanya kami berdua dan juga peguam," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!