Keputusan Enakmen Syariah Kelantan: Kabinet perlu segera bermesyuarat

Hassan. Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Hassan. Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak sah adalah satu perkara besar yang perlu ditangani Kabinet kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan tersebut dianggap besar dan serius kerana melibatkan tiga hal.

"Pertama iaitu sejauh mana bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) sah membuat undang-undang syariah.

"Kedua, soal pembahagian bidang kuasa kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dalam soal Islam di bawah sistem federalisme yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Ketiga, kedudukan raja-raja Melayu sebagai pemerintah negeri yang dianggap ketua agama Islam di negeri berkenaan yang telah memberi perkenan diraja sesuatu Enakmen Undang-Undang Syariah yang telah diluluskan DUN tiba-tiba dibatalkan Mahkamah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut melontarkan persoalan berkenaan perasaan raja di negeri berkenaan apabila kuasanya dinafikan.

Justeru katanya, jemaah menteri perlu segera bermesyuarat dan tidak boleh dibenarkan undang-undang keperlembagaan yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan undang-undang syariah diserahkan kepada mahkamah semata-mata.

Tugas mahkamah katanya, untuk mentafsir undang-undang manakala tugas menggubal, meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang adalah dalam bidang kuasa Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah prinsip pemisahan kuasa di Malaysia. Jika ada yang tidak kena sesuatu keputusan mahkamah dengan kehendak masyarakat Islam yang mahu melihat syiar Islam ditegakkan di negara ini, maka adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk meneliti keperluan mengadakan pindaan Perlembagaan supaya tidak berlaku lagi petisyen-petisyen di mahkamah untuk membatalkan enakmen-enakmen syariah di negeri lain pula," ujar beliau.

Jelasnya, ini kerana soal pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan keperluan kelulusan dengan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di Dewan Rakyat.

Maka beliau berkata, adalah satu keperluan kerajaan Pusat mengadakan perbincangan dan libat urus dengan pihak pembangkang di Parlimen serta kerajaan-kerajaan negeri untuk dibawa ke Majlis Raja-Raja sebelum sesuatu Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan tersebut dibentangkan di Parlimen.