Segera pinda Perlembagaan pastikan kedudukan Islam terjamin - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sekali lagi digesa agar segera melakukan pindaan yang sesuai pada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut memastikan kedudukan undang-undang Islam sentiasa terjamin dan hak umat Islam yang dinaungi oleh undang-undang syariah sentiasa terpelihara.

"Saya menghormati kuasa mahkamah untuk mentafsir undang-undang, pada masa sama, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa, Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat dan meminda undang-undang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan yang perlu dilakukan kerajaan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 daripada 18 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak sah dan terbatal.

Menurutnya, dengan keputusan itu, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.

"Saya berdukacita di atas keputusan hari ini dan percaya majoriti umat Islam di negara ini juga berdukacita dengan keputusan ini," katanya.

Muhyiddin berkata, jika ada pihak yang mencabar kedudukan undang-undang Islam di negeri-negeri lain, undang-undang tersebut juga akan diisytiharkan tidak sah berdasarkan precendent yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes berkenaan


Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab pertahan Enakmen Syariah Kelantan

Artikel Berkaitan:

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab atas kegagalan mencelah dan bersama-sama mempertahankan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya boleh memainkan peranan penting dalam bersama-sama kerajaan Kelantan untuk turut sama menentang cabaran daripada peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Jelasnya, Perikatan Nasional (PN) konsisten dari awal lagi mendesak agar Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencelah dan mengambil bahagian di dalam kes itu, namun amat mendukacitakan perkara tersebut tidak dilakukan.

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal

"Keputusan Mahkamah Persekutuan boleh melemahkan moral Dewan Undangan Negeri dalam menegakkan hukum Islam berdasarkan nas dan dalil al-Quran dan Sunnah

"Malah ia juga memberi kebimbangan kerana Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri lain yang sama dengan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan turut berada dalam keadaan bahaya dan boleh dicabar pada bila-bila masa," katanya.

Ujar beliau, keputusan itu membuka ruang untuk fahaman sekularisme semakin membarah dalam masyarakat Melayu dan Islam.

“Ia juga memberikan impak signifikan terhadap kuasa dan peranan institusi Raja-Raja Melayu sebagai tiang penegak hukum dan perundangan Islam di negeri-negeri seluruh Malaysia.

“Keputusan hari ini juga bermakna sesiapa sahaja boleh pergi ke Mahkamah Persekutuan dan mencabar peruntukan undang-undang syariah negeri walaupun dia bukan individu yang terkesan atau mempunyai locus standi dalam kes berkenaan," katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang menegaskan, rakyat Malaysia khususnya umat Islam amat kecewa dengan keputusan tersebut.

“Sesungguhnya hari ini merupakan episod hitam 'Black Friday' untuk undang-undang syariah di negara kita.

“Orang Melayu dan Islam amat berdukacita dengan kedudukan dan situasi semasa perundangan Islam di Malaysia ekoran daripada keputusan mahkamah pada hari ini," katanya.

Justeru katanya, Armada menggesa agar suatu pindaan perlembagaan segera dilakukan bagi melindungi dan memartabatkan kedudukan undang-undang jenayah syariah di Malaysia.