Apa anda perlu tahu tentang kes Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019

Nik Elin Zurina
Nik Elin Zurina
A
A
A

Perihal Nik Elin dan petisyen difailkan

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat memutuskan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Jelasnya, 16 daripada 18 peruntukan itu tidak sah kerana intipati peruntukannya termasuk bawah Senarai Persekutuan.

Melalui Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan perkara-perkara yang Parlimen boleh membuat undang-undang dan perkara-perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang.

Dengan kata lain, kuasa perundangan Persekutuan dan negeri telah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri dan Parlimen mahu pun Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui senarai masing-masing.

Siapa Nik Elin Zurina?

Artikel Berkaitan:

Nik Elin ialah seorang peguam kelahiran Kelantan.

Apa petisyen yang difailkan?

Nik Elin dan Tengku Yasmin mengemukakan petisyen mencabar Perlembagaan berhubung peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada 25 Mei 2022.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Kenapa kemukakan petisyen?

Mereka mendakwa peruntukan itu tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama dan kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah di bawah bidang kuasa Parlimen, manakala DUN hanya diberi hak menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Berapa lama tempoh pendengaran petisyen sebelum keputusan dibuat?

Kira-kira setahun sembilan bulan.

Apa polemik yang timbul sejak petisyen difailkan?

Petisyen berkenaan menjadi kontroversi apabila dibantah ramai pihak terutamanya daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Malah, pada awal November lalu, sebanyak 300 NGO Islam menyerahkan memorandum mendesak pindaan Perlembagaan segera bagi mengelak peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar atau lebih buruk lagi berisiko dibatalkan. Memorandum itu diserahkan di Parlimen kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Mereka juga menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut yang didakwa memberi tekanan terhadap bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkait dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.