Keputusan petisyen Nik Elin: Pembangkang akan serah memorandum khas kepada Agong

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bagi menyembah maklum suara hati rakyat berhubung keputusan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Hamzah berkata, beliau akan memohon untuk menghadap Sultan Ibrahim dan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

Katanya, memorandum itu juga akan mengandungi cadangan langkah-langkah penyesuaian kepada pemerkasaan Mahkamah Syariah yang perlu dilunaskan.

“Keputusan petisyen Nik Elin yang tidak berpihak kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan telah menyentuh perasaan seluruh umat Islam. Tambahan pula apabila dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Perkembangan ini memperlihatkan adanya kelompongan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan dengan ‘Hak Menganut dan Mengamal’ (profess and practice) majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kesan daripada keputusan itu akan menggugat enakmen jenayah syariah di seluruh negeri di negara ini dan akan mendedahkan enakmen negeri-negeri lain juga kepada risiko pembatalan.

Artikel Berkaitan:

“Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

“Walhal, Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pada masa yang sama, terdapat Wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang antara lain mewasiatkan ‘Kami Mengisytiharkan Islam Adalah Agama Rasmi Persekutuan’ dan ‘Kami Mengamanahkan dan Kami Pertanggungjawabkan Kepada Raja-Raja Melayu Untuk Melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu’.

“Meneliti dengan cermat dan sebagai langkah ke hadapan, menjadi keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan ‘Hak Menganut dan Mengamal’ majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat ini,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!