Imigresen Johor serbu gerai tular, tahan 24 warga asing

Dua warga asing yang ditahan imigresen dalam operasi berkenaan. Foto JIM Negeri Johor
Dua warga asing yang ditahan imigresen dalam operasi berkenaan. Foto JIM Negeri Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 24 warga asing dalam serbuan di beberapa gerai di sekitar bandar raya ini pada Khamis.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, serbuan di beberapa gerai yang tular di TikTok itu dilakukan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Johor menerusi Ops Selera sekitar jam 9.55 malam.

Menurutnya, tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah di premis tersebut.

“Hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu oleh Unit Tindakan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Johor telah mengenal pasti lokasi dan subjek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan melibatkan 13 lelaki dan dua perempuan warga Indonesia, empat lelaki Yaman dan lima lelaki warga Pakistan berusia antara 20 hingga 52 tahun.

Sebahagian warga asing yang ditahan imigresen Johor dalam Ops Selera pada Khamis. Foto JIM Negeri Johor
Sebahagian warga asing yang ditahan imigresen Johor dalam Ops Selera pada Khamis. Foto JIM Negeri Johor

Menurutnya, kesemua mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Katanya, sebanyak sembilan notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada kesemua individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"JIM Johor akan terus mempergiatkan lagi operasi serta usaha penguatkuasaan di seluruh negeri Johor bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang dan majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah," katanya.