Kes bunuh peniaga buah, polis tahan 13 warga asing

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya dalam tempoh 48 jam, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan seorang penjual buah warga tempatan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman OUG, di sini Selasa lepas, dengan penahanan 13 lelaki warga asing semalam dan Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisoner Amihizam Abdul Syukor berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dalam beberapa serbuan.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap suspek utama kes pada pukul 11 pagi tadi serta membuat rampasan barang kes. Polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 48 jam," katanya dalam kenyataan di sini malam Khamis.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman hingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau berharap agar orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222.

Dalam kejadian pada 7.40 malam Selasa lepas, polis menerima maklumat tentang kes bunuh melibatkan seorang peniaga buah warga tempatan berusia 80 tahun di Taman OUG dan berikutan itu, empat lelaki telah ditahan pada jam 2.30 pagi di lokasi kejadian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!