Lima polis MPV mengaku tidak bersalah peras ugut wang RM4,500

Kelima-lima tertuduh dibawa bersama tertuduh lain ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.
Kelima-lima tertuduh dibawa bersama tertuduh lain ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lima anggota polis dari Unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah menghadapi pertuduhan secara bersama memeras ugut seorang lelaki pada 1 Februari lalu di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini.

Tertuduh, Rozaini Abu Hassan, 48; Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24; Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38; dan Muhamad Khusairi Ahamad, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima yang berpangkat sarjan, lans koperal dan koperal itu telah bersama-sama sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki bernama Huah Wei Jian.

Mereka didakwa mendatangkan ketakutan bahawa satu bencana iaitu mangsa dikatakan telah melakukan satu kesalahan yang boleh ditangkap kerana memiliki dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dengan itu, kelima-lima tertuduh didakwa dengan curang mendorongnya menyerahkan harta iaitu wang tunai berjumlah RM4,500 kepada mereka.

Oleh demikian, mereka dituduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kelima-lima tertuduh dibawa bersama tertuduh lain ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.
Kelima-lima tertuduh dibawa bersama tertuduh lain ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam VS Kumar.

Mohd Nordin memohon mahkamah memberikan jaminan RM10,000 bersama seorang saksi terhadap setiap tertuduh, selain syarat tambahan iaitu semua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu atau mendekati saksi kes sehingga kes mahkamah selesai.

Kumar kemudiannya memohon agar mahkamah mengenakan jaminan munasabah kerana kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

"Bagi tertuduh pertama (Rozaini), dia berusia 48 tahun dan menanggung isteri serta empat anak yang masih belajar. Dia yang berpangkat sarjan telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 24 tahun lalu.

"Bagi tertuduh kedua (Muhammad Mustaqim), dia berusia 35 tahun dan mempunyai isteri serta tiga anak yang mana, anak bongsunya masih bayi. Dia seorang koperal dan telah berkhidmat selama 12 tahun," katanya.

Bagi tertuduh ketiga (Muhamad Syakir) pula, Kumar berkata, tertuduh berusia 24 tahun dan menanggung isterinya yang sedang sarat hamil.

"Tertuduh kertiga berpangkat lans koperal dan telah berkhidmat selama empat tahun.

"Sementara tertuduh keempat (Mohd Nurizuan), dia berusia 38 tahun dan menanggung isteri serta tiga anaknya dengan salah seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya. Dia telah berkhidmat dengan PDRM selama 18 tahun.

"Untuk tertuduh kelima (Muhamad Khusairi) yang berusia 30 tahun, berpangkat lans koperal dan dia juga menanggung seorang isteri. Dia berkhidmat sejak tujuh tahun lalu," katanya.

Kumar menambah, kelima-lima tertuduh perlu menempuh perbicaraan di mahkamah dan tiada alasan untuk mereka melarikan diri kerana ia akan melibatkan skim pencen dan 'gratuity' mereka.

"Oleh demikian, saya mohon jaminan yang munasabah," katanya.

Nurul Rasyidah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh selain mengenakan syarat tambahan iaitu kelima-lima tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes mahkamah selesai.

Kumar memaklumkan, kesemua anak guamnya telah membayar wang jaminan masing-masing.

Kes ditangguhkan sehingga 15 Mac untuk serahan dokumen.