Kesedaran peniaga bazar Ramadan carum PERKESO masih rendah

Ismail (kiri) dan Rizam (dua dari kanan) menyerahkan faedah Perkeso kepada Fifi (dua dari kiri) di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar pada Khamis.
Ismail (kiri) dan Rizam (dua dari kanan) menyerahkan faedah Perkeso kepada Fifi (dua dari kiri) di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kesedaran melakukan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kalangan peniaga bazar Ramadan di Selangor masih pada tahap rendah.

Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, semakan mendapati kurang 10 peratus daripada lebih 12,000 peniaga dalam kelompok Orang Bekerja Sendiri (OBS) tidak mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menurutnya, golongan itu seharusnya memanfaatkan peluang disediakan kerajaan yang membiayai caruman sebanyak 90 peratus iaitu pada kadar caruman RM290.50 setahun.

"OBS termasuk peniaga bazar Ramadan pada tahun ini hanya perlu membayar RM23.30 sahaja dengan selebihnya dibiayai kerajaan bagi mendapatkan perlindungan selama setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah PERKESO kepada salah seorang penerima di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar dekat sini pada Khamis.

Bayaran faedah pengurusan mayat dan penakat bulanan itu diserahkan kepada Fifi Nur Aressa Mohamad Nazari, 25, yang kehilangan suaminya, Allahyarham Muhammad Shazrizal Mohd Jamil, 27, akibat kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Barat (WCE) berdekatan Setiawan, Perak pada 2 Disember tahun lalu.

Ismail memberitahu, caruman itu perlu dilakukan berikutan pihaknya turut merekodkan kes melibatkan peniaga bazar tersebut.

"SKSPS itu bukan sahaja meliputi skim perlindungan ketika Ramadan malah boleh digunakan peniaga ketika berniaga di bulan lain selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, peniaga terbabit digalakkan untuk membuat caruman bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan jika ditimpa musibah.

Sementara itu, Fifi yang turut menerima kunjungan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, bayaran faedah berkenaan akan digunakan bagi perbelanjaan harian tiga anaknya berusia dua hingga enam tahun.

"Selain itu, ia dapat membantu meringankan kos pengajian saya di OUM (Open Universiti Malaysia (OUM) dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat.

"Pemergian arwah suami sememangnya amat dirasai apatah lagi menjelang Ramadan, namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.