Momentum Terengganu pada tahap terbaik berdepan Stallion Laguna

Steinbruckner (kiri) bersama Habib pada sidang akhbar menjelang aksi Kumpulan G Piala AFC 2023, Terengganu FC menentang Stallion Laguna di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak pada Rabu. - Foto Bernama
Steinbruckner (kiri) bersama Habib pada sidang akhbar menjelang aksi Kumpulan G Piala AFC 2023, Terengganu FC menentang Stallion Laguna di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) yakin dapat mengekalkan aura positif Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, biarpun aksi menentang Stallion Laguna FC dalam aksi Kumpulan G Piala AFC berlangsung pada petang Khamis.

Malah, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mengakui momentum pasukan juga berada pada tahap terbaik selepas mengikat Bali United, 1-1 dalam aksi di Stadium Kapten I Wayan Dipta pada 4 Oktober lalu.

Lantaran itu, pengendali dari Croatia tersebut tidak mahu alasan beraksi pada petang menjejaskan prestasi kelab dari pantai timur ketika berdepan lawan dari Filipina tersebut.

Sebaliknya, Steinbruckner tekad mempertaruhkan kesebelasan terbaik biarpun status beberapa pemain masih samar untuk diturunkan berikutan kecederaan termasuk kapten pasukan, Habib Haroon.

"Jika kami dapat mengutip tiga mata berdepan Stallion Laguna adalah keputusan yang ideal, tambahan pula selepas bermula baik menang ke atas Central Coast Marriners dan seri dengan Bali United.

“Jadi kelebihan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin harus dimanfaatkan sebaik mungkin para pemain Terengganu yang turun dengan status pasukan pilihan perlawanan ini.

"Cuma para pemain Terengganu tidak boleh mengambil mudah cabaran Stallion Laguna, biarpun dibelasah Central Coast Marriners dan Bali United sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Dalam pada itu, Habib menyerahkan kepada Steinbruckner untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama atau sebaliknya dalam perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kata Habib, dia mengalami kecederaan ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City, pada 21 Oktober lalu.

"Perkembangan itu menyaksikan saya terlepas tiga sesi latihan, dan sudah tentu saya mahu mengetuai pasukan ini. Namun malangnya tahap kecergasan belum mencapai 100 peratus dan terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

"Apa yang penting berdepan Stallion Laguna, saya berharap rakan-sepasukan tidak mensia-siakan peluang dalam memastikan tiga mata menjadi milik Terengganu," katanya.

PIALA AFC 2023

KHAMIS (26 OKTOBER)

Kumpulan G

Terengganu FC lwn Stallion Laguna FC

(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 4 petang)