Pasangan kekasih terlepas hukuman gantung edar dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang bekas pemandu peribadi tersenyum gembira selepas terselamat daripada tali gantung berikutan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengetepikan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar 20.5 kilogram (kg) dadah, pada 2015.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop yang mengetuai panel lima hakim melepas dan membebaskan Joni Rizal Rustam, 44, daripada tiga pertuduhan mengedar dadah itu selepas mendapati elemen mengedar dadah tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

“Oleh itu sabitan terhadap pertuduhan mengedar adalah tidak selamat. Sehubungan itu mahkamah melepas dan membebaskan perayu pertama (Joni Rizal) dan hukuman mati diketepikan,” katanya dan Joni Rizal yang tidak diwakili peguam dan berhujah sendiri itu tersenyum di dalam kandang tertuduh mendengar keputusan tersebut.

Hakim Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan lelaki itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Okt 2017 yang mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Ogos 2016 selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan mengedar dadah itu.

Hakim lain yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman dan Datuk Rohana Yusuf.

Sementara itu teman wanitanya, Noorayuni Kamsani, 33, yang menghadapi hukuman sama menangis teresak-esak selepas terselamat daripada hukuman mati berikutan panel itu mengetepikan hukuman itu dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atasnya.

Hakim Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas meminda pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki 18.742 kg methamphetamine dan 1.798kg methylenedioxy methamphetamine terhadap Noorayuni, yang merupakan perayu kedua.

Selepas keputusan itu Noorayuni, peniaga dalam talian memeluk ahli keluarganya yang hadir sambil menangis teresak-esak dan berkata sesuatu kepada bapanya.

Artikel Berkaitan:

Panel itu mendapati pihak pendakwaan hanya membuktikan pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan bukannya di bawah Seskyen 39B(1)(a) akta sama bagi kesalahan mengedar.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati itu selepas mendapati Joni Rizal dan Noorayuni bersalah atas tiga tuduhan mengedar dadah seberat 702.5 gram, 18.052kg dan 1.79kg yang kesemuanya berjumlah 20.5445kg di kondominium PV20, Platinum Lake Condo, Setapak, Kuala Lumpur pada 11 pagi, 22 Mei 2015.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka merayu ke Mahkamah Rayuan dan mahkamah itu juga mengekalkan hukuman mati tersebut selepas menolak rayuan mereka.

Joni Rizal dan Noorayuni kemudiannya merayu ke Mahkamah Persektuan dan ini adalah rayuan terakhir mereka.

Noorayuni diwakili peguam Datuk C.Vignesh Kumar dan Daniel Annamalai Subramaniam manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai.- Bernama