Kerajaan negeri, MAIK perlu kerjasama tangani isu terjun jambatan - ABIM Kelantan

Saifulnizam Muhamad
Saifulnizam Muhamad
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan melihat kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) perlu bekerjasama dalam menangani isu terjun jambatan yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

Naib Yang Dipertuanya, Saifulnizam Muhamad berkata, kerjasama itu dengan menempatkan kaunselor dan mewujudkan ruang runding cara di seluruh masjid jajahan dan mukim di seluruh negeri.

"Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat mempromosi masjid sebagai lokasi untuk merawat tekanan emosi serta pembangunan spiritual secara holistik.

"MAIK sebagai pihak yang berautoriti ke atas masjid, usaha menjadikan pusat ibadat itu sebagai lokasi tumpuan masyarakat setempat yang berdepan dengan tekanan emosi bagi mendapatkan khidmat nasihat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, ruang khas di kawasan masjid boleh diwujudkan bertujuan memperkukuh spiritual diri agar perasaan dan emosi individu yang lebih terkawal.

Ujarnya, usaha ini secara tidak langsung dapat mengelakkan sekali gus mengurangkan kadar kes bunuh diri yang kian meningkat.

"Sekiranya negeri ini kekurangan pakar kaunseling untuk ditempatkan di masjid-masjid mukim, kerajaan negeri juga boleh menyarankan MAIK agar menawarkan dermasiswa kepada mahasiswa anak Kelantan yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

"Hal ini bagi menampung keperluan kaunselor di seluruh masjid di Kelantan. Biasanya, kecenderungan membunuh diri berpunca dari tekanan hidup yang dihadapi individu tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Saifulnizam memberitahu, kerajaan negeri juga boleh mewujudkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, ia bagi membolehkan KKM menempatkan pakar kaunseling yang bersedia untuk memberi rawatan psikologi pada masyarakat yang berhadapan dengan tekanan dan mempunyai risiko kecenderungan membunuh diri.