Kerajaan Kelantan perlu tingkat sosioekonomi, elak kes terjun jambatan

Solat hajat yang dilakukan di Jambatan Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada Isnin. Foto: Bernama, gambar kecil: Dr Hafidzah
Solat hajat yang dilakukan di Jambatan Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada Isnin. Foto: Bernama, gambar kecil: Dr Hafidzah
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat di negeri ini perlu dibantu untuk meningkatkan tahap sosioekonomi bagi menggelak kes terjun jambatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, peranan penting ke arah perkara itu perlu diambil serius oleh pihak kerajaan negeri Kelantan sekali gus membanteras kejadian berkenaan.

Menurutnya, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini beliau pernah membangkitkan peranan khususnya pada pihak kerajaan negeri itu untuk menangani masalah kesihatan mental membabitkan cubaan terjun jambatan.

“Rekod pada bulan September tahun lalu, setiap minggu berturut-turut berlaku kejadian terjun jambatan dan ada yang sampai sekarang jasadnya tidak dijumpai.

“Jadi memang ada keperluan untuk pihak Kerajaan Kelantan memandang serius perkara ini kerana keadaan semasa dan cabaran sosioekonomi rakyat yang memang perlu dibantu supaya tidak menjadikan jambatan tempat untuk terjun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM, di sini, pada Isnin.

Papan tanda peringatan dilekatkan di dinding jambatan. Foto: Bernama
Papan tanda peringatan dilekatkan di dinding jambatan. Foto: Bernama

Dr Hafidzah berkata, pihak kerajaan sentiasa mengambil perhatian masalah kesihatan mental rakyat di seluruh negara termasuk Kelantan.

Bahkan, masalah sama turut dialami di Pulau Pinang namun berbeza apabila kerajaan negeri itu terus mewujudkan satu task force yang diketuai oleh Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen sebagai langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

“Task force ini salah satu cadangan dan langkah-langkah pencegahan menangani masalah terjun jambatan.

“Selain pemasangan jaring, pemasangan papan tanda peringatan di jambatan-jambatan juga amat perlu sebagai satu peringatan,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Dr Hafidzah memberitahu peranan media penting untuk menyalurkan maklumat perkhidmatan psiko spiritual dan psikologi yang disediakan oleh kerajaan.

“Kerajaan di peringkat Persekutuan melalui Kementerian kesihatan memang menyediakan perkhidmatan psiko spiritual, psikologi dan sebagainya untuk menangani pemasalahan ini.

“Pihak media juga perlu terus membantu pihak kerajaan untuk menguar-uarkan perkhidmatan ini kepada rakyat supaya mereka ada ruang untuk mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi masalah gangguan emosi atah mental,” katanya.

Akhbar sebelum itu melaporkan lebih 500 jemaah termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama barisan exco dan ketua-ketua jajahan menyertai solat hajat di Jambatan Sultan Ismail Petra di sini pada Isnin bagi memohon perlindungan selain sebagai usaha mengelakkan lebih banyak kes terjun jambatan berkenaan.

Sebelum ini juga akhbar melaporkan sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021 dan 16 kes daripadanya ditemukan lemas.