Makmal dadah berselindung di sebalik kegiatan proses minyak terpakai

Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi serbuan Selasa lalu. Antara cecair dan peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah.
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi serbuan Selasa lalu. Antara cecair dan peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah.
A
A
A

SHAH ALAM - Makmal dadah yang berselindung di sebalik kegiatan memproses minyak terpakai diserbu di Kampung Bukit Cerakah di sini pada Selasa.

Kegiatan memproses dadah itu didapati dijalankan dalam sebuah kontena di kawasan terpencil lokasi berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 3 petang di lokasi berkenaan merampas dadah bernilai RM850,611.

"Serbuan dijalankan merampas 440 gram ketulan kristal methamphetamine, 1,030 gram cecair methamphetamine, 53,030 gram serbuk ephidrine serta pelbagai peralatan dan bahan kimia bagi penghasilan dadah berkenaan.

"Selain itu, dua lelaki masing-masing warga tempatan dan warga asing berumur 22 dan 37 tahun ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses dadah ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Selasa.

Katanya, semakan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

"Kedua-dua suspek itu masing-masing bekerja sebagai penghantar barangan dan buruh binaan. Semakan mendapati suspek warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Menurutnya, tindakan sitaan turut dijalankan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Dash dianggarkan bernilai RM1,050.

"Setakat ini polis masih menyiasat sumber kesemua bahan membuat dadah diperoleh dan individu lain yang terlibat dalam kegiatan terbabit.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.