'Pelik hanya enam orang sertai program saringan IPT'

Dewan yang dijadikan sebagai Program Saringan dan Temuduga Ambilan IPTA/IPTS 2020 oleh sebuah syarikat swasta di Jitra hari ini
Dewan yang dijadikan sebagai Program Saringan dan Temuduga Ambilan IPTA/IPTS 2020 oleh sebuah syarikat swasta di Jitra hari ini
A
A
A

JITRA - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti taklimat Program Saringan dan Temuduga Ambilan IPTA/ IPTS 2020 mendedahkan hanya enam peserta yang mengikuti program dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta itu hari ini.

Dia yang mahu dikenali sebagai Ikmal mengakui berasa hairan apabila hanya enam individu yang mengikuti taklimat sepanjang dua jam berada di dalam dewan lokasi program itu dijalankan.

"Saya tahu mengenai program ini melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

"Saya sebenarnya ragu-ragu dengan Program Saringan dan Temuduga Ambilan IPTA/IPTS 2020 ini sebab hanya beberapa orang yang datang," katanya ketika ditemui Sinar Harian dekat sini hari ini.

Ikmal tiba paling awal di lokasi program itu tanpa ditemani ibu bapanya bagi mengikuti program berkenaan yang dianjurkan sebuah syarikat swasta kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, semasa di program berkenaan, dua pegawai memberikan penerangan kepada enam peserta tersebut termasuklah cara-cara menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini melalui syarikat tersebut.

"Saya hadir ke sini sebab ibu bapa yang suruh datang dengar dulu taklimat ini. Tapi saya belum buat apa-apa keputusan lagi sebab mahu tanya pendapat ibu bapa saya dulu.

"Jika saya setuju, saya perlu bayar RM150 untuk jaminan penempatan di universiti yang saya pilih itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kertas yang ditampal untuk memaklumkan tentang Program Saringan dan Temuduga Ambilan IPTA/IPTS 2020 di sebuah bangunan di Jitra hari ini.
Kertas yang ditampal untuk memaklumkan tentang Program Saringan dan Temuduga Ambilan IPTA/IPTS 2020 di sebuah bangunan di Jitra hari ini.

Ikmal yang mendapat 8A 1B dalam peperiksaan SPM berkata, dia berminat untuk menyambung pengajian di dalam jurusan perubatan di sebuah universiti tempatan di ibu kota untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor.

"Saya ada mengisi butiran-butiran di online seperti diminta mereka, namun saya belum membuat apa-apa bayaran lagi," katanya.

Dalam pada itu, ketika tinjauan Sinar Harian ke lokasi program mendapati tidak ada gegantung rasmi yang diletakkan logo syarikat tersebut mahupun logo daripada Kementerian Pendidikan (KPM) digantung ataupun diletakkan di bangunan mahupun dewan yang dijadikan sebagai lokasi program tersebut.

Bagaimanapun, didapati hanya satu kertas dengan tulisan pen ditampal di bahagian aras bawah bangunan untuk memaklumkan program berkenaan diadakan di tingkat tiga bangunan tersebut.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dengan hanya mengenakan caj RM150, sebuah syarikat memberi 'jaminan' kepada pelajar lepasan SPM untuk menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Caj RM150 jaminan tempat ke IPTA