Caj RM150 jaminan tempat ke IPTA

Wartawan Sinar Harian (kiri) menemu bual mangsa di Shah Alam, semalam.
Wartawan Sinar Harian (kiri) menemu bual mangsa di Shah Alam, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Dengan hanya mengenakan caj RM150, sebuah syarikat memberi 'jaminan' kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini.

Lebih menarik, pelajar berkenaan bukan sahaja dijamin tempat di mana-mana IPTA pilihan, bahkan mereka juga dibenarkan memilih kursus pengajian diminati tanpa melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) Kementerian Pendidikan (KPM).

Begitulah tawaran 'tidak masuk akal' dikemukakan sebuah syarikat perunding pendidikan yang berpangkalan di Negeri Sembilan bagi memperdayakan pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke IPTA.

Siasatan Sinar Harian mendapati syarikat berkenaan yang ditubuhkan sejak tahun 2007, menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook bagi mengemukakan tawaran syarikat kepada kesemua pelajar sasaran di seluruh negara.

Pelajar berminat kemudiannya diminta hadir ke mana-mana lokasi program jelajah seminar pendidikan anjuran syarikat terbabit yang difahamkan dirancang di seluruh negara bermula hari ini di Jitra, Kedah.

Kehadiran pelajar terbabit bertujuan membolehkan mereka mendengar tawaran jaminan kemasukan ke IPTA dikemukakan syarikat sebelum dikenakan caj RM150 sebagai 'yuran proses'.

Sinar Harian turut berkesempatan menghubungi pengurus syarikat berkenaan yang enggan dikenali bagi meminta penjelasan mekanisme tawaran perkhidmatan dikemukakan.

Dia mendakwa, syarikat tersebut sudah berjaya menguruskan kemasukan ribuan pelajar ke IPTA menerusi laluan khas sejak beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Melalui perkhidmatan syarikatnya, dia turut menjelaskan pelajar terbabit diberi jalan pintas dengan jaminan mendapat tempat di mana-mana IPTA pilihan tanpa perlu mengisi borang UPU.

No Image Caption

"Selain itu, syarikat kami juga mampu menawarkan pilihan kursus pengajian diingini pelajar tanpa perlu mengemukakan rayuan kepada IPTA disertai. Jaminan ini diberikan kerana kami merupakan pihak ketiga dilantik KPM bagi memudah cara urusan kemasukan pelajar ke IPTA tanpa melalui UPU.

"Syarikat kami juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa IPTA dan perkara itu amat memudahkan urusan pertukaran pelajar ke IPTA diingini pada masa hadapan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dia mendakwa tawaran kemasukan ke IPTA secara laluan khas turut terpakai kepada pelajar lepasan SPM yang masih menunggu keputusan peperiksaan utama itu.

"Bagi pelajar lepasan SPM, kita akan menggunakan sijil percubaan SPM sahaja di mana mereka masih perlu memperoleh keputusan minimum 6C sebagai syarat minimum kemasukan ke IPTA.

"Mengenai bayaran RM150, caj dikenakan untuk 'yuran proses' kerana proses pendaftaran kemasukan pelajar ke IPTA menggunakan sistem khas kami akan berhubung terus dengan sistem KPM tanpa melalui UPU.

"Secara lebih mudah, mana-mana pelajar berdaftar menggunakan sistem kami dijamin masuk IPTA lebih awal daripada mereka yang menggunakan pendaftaran UPU," katanya.

Ditanya kuota kemasukan awal pelajar ke IPTA diperoleh syarikat berkenaan, pengurus itu menjelaskan kesemua pelajar yang menggunakan laluan khas akan dijamin tempat berdasarkan lebihan kekosongan kuota dalam setiap kursus pengajian di setiap IPTA.

"Sebagai contoh, bagi setiap kursus pengajian di sesebuah universiti menawarkan sekurang-kurangnya 30 tempat kepada pelajar.

"Jadi jika ada pelajar yang menolak tawaran kursus pengajian asal, tawaran itu akan terus dikemukakan kepada pelajar dari syarikat kami yang menggunakan akses laluan khas," katanya.

Bagaimanapun, seorang waris pelajar hanya dikenali Hisham,40, menyifatkan tawaran syarikat berkenaan tidak masuk akal dan secara terang-terangan berunsurkan penipuan.

Menurutnya, tujuan KPM menubuhkan UPU adalah bagi menyelaraskan aspek kemasukan pelajar berkelayakan ke IPTA di seluruh negara secara adil dan saksama.

"Adakah sekiranya 1,000 pelajar menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit, kesemuanya dijamin tempat ke IPTA di negara ini dengan pilihan kursus pengajian diingini mereka sekali?

"Lagipun, tinjauan saya terhadap laman sesawang syarikat berkenaan juga amat meragukan di kerana ia terlalu ringkas dan tidak mempunyai maklumat pelaksanaan program tawaran kemasukan ke IPTA lengkap dan meyakinkan," katanya.

Hisham turut menggesa semua pihak terutama golongan ibu bapa tidak mudah terperdaya dengan tawaran syarikat berkenaan yang disifatkan tidak masuk akal dan mendahului peranan KPM sendiri.