Ail laluan baharu buat pelajar lepasan SPM mahu terus bekerja

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Program Academy in Industry (Ail) menjadi laluan baharu kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk bekerja pada usia 18 tahun dengan gaji permulaan sebanyak RM2,000 sebulan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu khusus buat mereka yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat universiti dan lebih baik berbanding mengambil kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) secara sepenuh masa selama 24 bulan.

“Mula bekerja dengan gaji lebih kurang RM2,000 sebulan dan selepas sembilan hingga 18 bulan kerja, mereka akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta gaji meningkat kepada RM2,300 sebulan.

“Sekiranya mereka sambung belajar ke peringkat diploma, gaji akan meningkat kepada RM3,000 hanya dalam usia seawal 20-an,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu.

Rafizi berkata, pihaknya telah pun menjalankan projek perintis tersebut melibatkan 100 pelajar di 10 syarikat swasta pertama.

Tambah beliau, menurut pelajar yang telah mengikuti program itu, mereka memaklumkan program AiI lebih berbaloi berbanding menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, tetapi perlu membuat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Lama-lama, ada soalan begini, ‘kalau macam itu, lebih baik tak payah pergi universiti’.

“Memang betul, untuk mereka yang tidak mahu ke universiti, ada jalan baharu (program AiI).

“Kerana kalau pergi universiti, perlu membuat pinjaman PTPTN selama enam tahun pada usia 24 tahun, sibuk mencari kerja dan dapat gaji RM2,000 lebih, kata mereka ia tidak berbaloi,” jelasnya.