Ahmad Zahid buat perjumpaan tertutup dengan Ketua UMNO Bahagian

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Pusat Dagangan Dunia petang Ahad.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Pusat Dagangan Dunia petang Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi mempengerusikan perjumpaan khas tertutup bersama semua Ketua UMNO Bahagian pada Ahad.

Turut kelihatan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Media difahamkan, daripada 191 ketua UMNO bahagian yang dijemput pada Sabtu bagi menghadiri perjumpaan khas tersebut hanya 150 menyatakan pengesahan untuk hadir.

Ahmad Zahid ketika ditemui berkata, perjumpaan khas tertutup itu dijangka turut membincangkan mengenai perkembangan politik semasa termasuk isu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perjumpaan khas ini juga dijangka akan berakhir kira-kira jam 6 petang nanti dan dihadiri oleh Ketua UMNO bahagian, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO," katanya.

Seramai 191 ketua UMNO bahagian dijemput pada Sabtu bagi menghadiri perjumpaan khas ini.
Seramai 191 ketua UMNO bahagian dijemput pada Sabtu bagi menghadiri perjumpaan khas ini.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid di laman sosialnya memaklumkan mengenai perjumpaan khas tertutup itu yang dijadual diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur jam 4 petang.

MKT UMNO pada Sabtu turut mengadakan mesyuarat sebelum mencapai ketetapan untuk meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat terbabit juga bersetuju pembelaan berkenaan adalah sesuai dengan laras undang-undang negara, selain berpegang pada keputusan Perhimpunan Agung UMNO berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.