Ahmad Zahid adakan perjumpaan tertutup dengan ketua bahagian UMNO esok

Hantaran Ahmad di aplikasi X pada Sabtu.
Hantaran Ahmad di aplikasi X pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan perjumpaan khas bersama ketua-ketua bahagian parti itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang Ahad.

Pemakluman itu dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi hantaran di aplikasi X miliknya pada Sabtu.

"Perjumpaan khas tertutup Yang Amat Berhormat (YAB)#UMNO DS @DrZahidHamidi bersama ketua UMNO bahagian-bahagian akan diadakan seperti berikut, 4 Februari jam 4 petang di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL. Terima kasih atas kehadiran," tulis Ahli Parlimen Pontian itu.

Menara Dato' Onn, WTCKL sekali lagi menjadi tumpuan apabila Mesyuarat Khas MKT UMNO berlangsung pagi Sabtu.

Mesyuarat khas kali ini diadakan susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara pemimpin yang hadir ialah Ahmad; Timbalan Presiden, Datuk Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu, mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam itu membuat keputusan untuk meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib.

Ketetapan itu dibuat sesuai dengan laras undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari membuat keputusan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Selain itu, jumlah denda yang perlu dibayar oleh bekas Presiden UMNO itu turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, menjalani hukuman sejak 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.