Pasang lampu, penghadang jalan di 'laluan maut' - Nurul Syazwani

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan digesa menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih dan pemasangan lampu serta penghadang jalan di kilometer 53 Jalan Klang - Teluk Intan yang disifatkan 'laluan maut' berikutan kekerapan kemalangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, laluan itu ibarat perangkap maut kepada pengguna jalan raya sekiranya dibiarkan berterusan.

Menurut beliau, perkara itu telah dibawa dalam perbahasan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, namun masih tiada jalan penyelesaian bagi menanganinya.

"Pengguna jalan raya yang melalui laluan ini sememangnya berisiko terlibat dalam kemalangan kerana keadaan jalan gelap lebih-lebih lagi pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Nurul Syazwani turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada kira-kira 150 penduduk kaum Tiong Hua di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Pasir Penambang dan Sungai Yu.

Nurul Syazwani menyampaikan barangan keperluan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat DUN Permatang, Pasir Penambang di sini pada Sabtu.
Nurul Syazwani menyampaikan barangan keperluan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat DUN Permatang, Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Nurul Syazwani memberitahu, pihak bertanggungjawab memaklumkan terdapat lampu jalan di laluan itu, namun tidak menyala akibat kerosakan kabel.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan keutamaan kerajaan pada masa ini ialah pemasangan lampu berkuasa solar, tetapi persoalannya adakah kita terpaksa menunggu pelbagai prosedur dan karenah birokrasi untuk mendapatkan lampu solar ini?.

"Saya harap, dana yang diperuntukkan dalam bajet tahun ini boleh digunakan untuk membaiki infrastruktur lampu sedia ada tanpa menunggu peruntukan lampu solar," jelas beliau.

Beliau memberitahu, pada Khamis lalu sahaja, terdapat satu kemalangan maut di lokasi tersebut, manakala dua kemalangan lagi di laluan Jalan Klang - Teluk Intan berdekatan Pasir Penambang.

"Dalam tempoh dua hari lalu sahaja, tiga kemalangan berlaku sepanjang laluan ini dan termasuklah kejadian seorang lelaki yang baru berkahwin meninggal dunia di lokasi (53 Jalan Klang - Teluk Intan) sama pada Disember tahun lalu," tambah beliau.

Sementara itu, bapa kepada wanita yang maut dalam kemalangan dua kenderaan pada Khamis lalu, Anan Saleng, 52, kesal apabila laluan itu gelap dan tiada penghadang jalan.

Katanya, pihak berkuasa diminta memberi tumpuan kepada isu keselamatan agar kejadian meragut nyawa anaknya tidak berlaku kepada pengguna jalan lain.

"Perkara ini sudah lama dan saya berharap kerajaan dapat meningkatkan lagi langkah keselamatan di jalan ini.

"Cukupkah anak saya yang terakhir maut di laluan itu, jangan biarkan kes ini terus berulang tanpa tindakan sewajarnya," tambahnya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang wanita maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Jalan Tanjong Karang - Sungai Besar di sini pada Khamis.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 8.10 malam.