'Arwah balik kerja awal sebab nak buka puasa' - Bapa

Anan dan isterinya, Ruhmazulaili Abu Hasan menunjukkan gambar kenangan anak mereka, Allahyarham Siti Norfatihah yang telah meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Tanjong Karang-Sungai Besar pada Khamis.
Anan dan isterinya, Ruhmazulaili Abu Hasan menunjukkan gambar kenangan anak mereka, Allahyarham Siti Norfatihah yang telah meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Tanjong Karang-Sungai Besar pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Wanita yang maut dalam kemalangan di Jalan Tanjong Karang-Sungai Besar pada Khamis berhasrat ingin berbuka puasa bersama adik-beradiknya di rumah, namun niatnya tidak kesampaian.

Bapa wanita terbabit, Anan Saleng, 52, berkata, Allahyarham anaknya, Siti Norfatihah Anan, 24, yang baharu sebulan bekerja sebagai pembantu di sebuah farmasi di Kuala Selangor memohon pulang lebih awal pada hari kejadian.

"Arwah sepatutnya balik dari tempat kerja jam 10 malam tetapi dia minta kebenaran pulang lebih awal ke rumah.

"Dia (Siti Norfatihah) sempat singgah sebentar membeli barangan dapur untuk berbuka puasa di rumah, tetapi ALLAH lebih menyayanginya apabila maut dalam perjalanan pulang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 8 1/2 Jalan Bernam Tanjong Karang dekat sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh turut meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi keluarga berkenaan.

Anan yang juga pemilik sebuah kedai makan memberitahu, Allahyarham Siti Norfatihah baharu sebulan bekerja di farmasi terbabit dan menerima gaji pertama sehari sebelum kemalangan meragut nyawa anak ketiga daripada 10 beradik itu.

"Sebelum ini, arwah anak bekerja dengan saya dan beritahu ingin mengambil pengalaman kerja di tempat lain," katanya.

Nurul Syazwani (kanan) menziarahi Ruhmazulaili Abu Hasan di kediamannya di Batu 8 1/2 Jalan Bernam Tanjong Karang pada Sabtu.
Nurul Syazwani (kanan) menziarahi Ruhmazulaili Abu Hasan di kediamannya di Batu 8 1/2 Jalan Bernam Tanjong Karang pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Anan, Allahyarham anaknya juga telah bertunang dengan lelaki pilihan hati pada 12 Januari lalu.

"Kami di pihak perempuan dan keluarga sebelah lelaki merancang melangsungkan perkahwinan mereka pada awal Mei depan.

"Namun, semuanya itu tidak menjadi kenyataan apabila arwah pergi buat selama-lamanya," tambahnya.

Tambahnya, Allahyarham juga merupakan Hafizah al-Quran 30 juzuk semasa menuntut di sebuah pusat tahfiz di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

"Alhamdulillah arwah sudah berjaya menamatkan pembelajarannya dan sejak di madrasah lagi, dia mengamalkan rutin puasa sunat Isnin dan Khamis," ujarnya.

Anan memberitahu, Allahyarham Siti Norfatihah disifatkan sebagai seorang anak yang periang, bertanggungjawab dan amat menyayangi ahli keluarganya.

"Kali terakhir saya jumpa pada pagi hari kejadian dan arwah sempat menyapa sebelum dia pergi buat kali terakhir," ujarnya.

Mengimbau kejadian meragut nyawa Siti Norfatihah, Anan berkata, berita kemalangan itu diketahui melalui rakannya yang singgah di sebuah restoran berhampiran kedai makannya kira-kira jam 8.10 malam Khamis.

"Masa itu, saya baru balik dari membeli roti canai di Pekan Tanjong Karang dan sebaik tiba di kedai makan, ada rakan maklumkan anak saya yang menaiki kereta Perodua Kenari terlibat kemalangan.

"Hati saya mula tak sedap, tak lama selepas itu saya lihat telefon bimbit rakan ada mayat sudah terbaring kaku ditutupi kain, rupanya anak saya sudah tiada," jelasnya.

Katanya, dia dan keluarga kemudiannya bergegas ke Hospital Tanjong Karang selepas dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham.

"Semasa melihat jenazahnya, saya mengikhlaskan pemergiannya kerana dia anak yang taat dan berbuat baik kepada keluarga," katanya.

Anan berkata, jenazah Allahyarham Siti Siti Norfatihah disembahyangkan di hospital itu dan kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudah Tanjong Karang kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang wanita maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Jalan Tanjong Karang-Sungai Besar pada Khamis.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 8.10 malam.