Pengampunan Najib: Pemuda UMNO bidas Bersih

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh membidas kenyataan 'berat sebelah' Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, pendirian yang dikeluarkan badan bukan kerajaan (NGO) itu jelas berbeza dengan apa yang berlaku dalam kes Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Bila Anwar Ibrahim diberikan pengampunan dulu langsung tak berbunyi pula ya.

"Bab kena kat muka sendiri boleh, bab orang lain tak boleh," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Hantaran Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dibuat bagi merujuk kenyataan Bersih.

Bersih pada Sabtu dilapor menggesa hukuman terhadap Najib dilaksanakan secara penuh sama seperti rakyat biasa yang melakukan kesalahan jenayah.

NGO itu berkata, walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak perlembagaan memberi pengampunan, namun keputusan tersebut akan memberi kesan kepercayaan rakyat berhubung sistem keadilan negara.

Dalam pada itu, hantaran Muhamad Akmal pada Jumaat yang dimuat naik bersama gambar ketika Himpunan Aman Pulangkan Najib tahun lalu menimbulkan tanda tanya.

Artikel Berkaitan:

Ia dipercayai dibuat sebaik sahaja keputusan Lembaga Pengampunan yang mengesahkan pengampunan terhadap Najib dikeluarkan.

Media padq Jumaat melaporkan, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 membuat keputusan untuk memberi pembebasan awal pada 23 Ogos 2028 kepada Najib.

Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari lalu dan dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu masih Yang di-Pertuan Agong.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.