Boleh anjur majlis graduasi dengan syarat dapat persetujuan ibu bapa

Khairudin menyantuni atlet yang mewakili Perak dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024.
Khairudin menyantuni atlet yang mewakili Perak dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024.
A
A
A

IPOH - Perak tidak menghalang penganjuran majlis garduasi atau apresiasi pelajar oleh pihak sekolah di tempat-tempat eksklusif dengan syarat mendapat persetujuan semua pihak terutama ibu bapa B40.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, persetujuan penting bagi mengelak timbulnya rungutan serta rasa kurang senang ibu bapa kerana perlu mengeluarkan belanja besar terhadap penganjuran itu.

"Pihak sekolah perlu berbincang, mengadakan mesyuarat dan sesi perjumpaan untuk dapatkan persetujuan ibu bapa. Tidak boleh buat terus buat kutipan (duit).

"Dalam hal ini, walaupun guru besar dan pengetua ada kuasa autonomi, tetapi mereka juga kena guna budi bicara, hanya boleh dilaksanakan jika dapat persetujuan," katanya.

Khairudin
Khairudin

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Countdown Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Khairudin berkata, pekeliling tatacara dan prosedur berkaitan penganjuran majlis graduasi di luar sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada Disember lalu adalah terpakai di semua sekolah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain persetujuan, telah dinyatakan dengan jelas penglibatan murid adalah secara sukarela tanpa paksaan selain penyertaan pelajar B40 menggunakan sumber kewangan diperoleh daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau pihak luar.

"Perak kita ikut pekeliling sedia ada dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada 20 Disember lalu telah edarkan surat iringan kepada semua pentadbir, makna setiap sekolah telah terima dan patut memahami prosedur berkenaan," katanya.

Media melaporkan rungutan ibu bapa mengenai penganjuran majlis graduasi murid oleh pihak sekolah di hotel dan restoran mewah yang dianggap membebankan.

Meskipun tidak mampu, ada ibu bapa terpaksa merelakan juga untuk membayar antara RM150 hingga RM200 semata-mata mahu anak hadir majlis graduasi itu.

Dalam pada itu, Khairudin meminta ibu bapa tidak panik dengan tahap keselamatan anak-anak di sekolah susulan kes seorang pengawal keselamatan ditahan kerana mencabul murid perempuan Tahun Satu sebuah sekolah rendah di Teluk Intan.

Ujarnya, polis telah mengambil tindakan lanjut berkenaan kes itu dan pengurusan sekolah juga meningkatkan aspek keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Keselamatan dan keselesaan murid adalah indeks prestasi utama (KPI) setiap sekolah. Jadi kita harapkan ibu bapa beri kerjasama dalam pastikan aspek keselamatan murid di sekolah," katanya.