Majlis graduasi sekolah: JPN Melaka keluar garis panduan baharu

Rahmad (tiga,kiri) dan Rosli (dua,kiri) bersalaman dengan calon SPM sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan.
Rahmad (tiga,kiri) dan Rosli (dua,kiri) bersalaman dengan calon SPM sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Satu garis panduan baharu akan diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka berhubung majlis graduasi atau majlis apresiasi yang dianjurkan di peringkat sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ini bagi memastikan supaya majlis seperti itu hanya dianjurkan dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, keputusan itu dibuat supaya setiap majlis keraian diadakan di hotel tidak menimbulkan rasa kurang senang segelintir ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, tiada sebarang halangan untuk pihak sekolah meraikan pelajar terutama pada majlis graduasi, namun ia tidak seharusnya diadakan secara besar-besaran atau pun pemilihan lokasi di hotel yang menelan banyak kos.

"Majlis ini seolah-olah menjadi trend pada masa kini terutama membabitkan pelajar sekolah rendah yang akan naik ke sekolah menengah.

"JPN akan keluarkan satu surat garis panduan agar majlis seperti ini hanya dianjurkan di sekolah dengan skala sederhana dan belanja yang minimum," katanya.

Sebahagian calon berdoa sebelum menduduki peperiksaan bertulis SPM di SMK Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, pada Selasa.
Sebahagian calon berdoa sebelum menduduki peperiksaan bertulis SPM di SMK Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni seramai 211 calon SPM pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad.

Dalam pada itu, seramai 12,900 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Melaka menduduki peperiksaan bertulis membabitkan 74 buah sekolah dan 103 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, 11,128 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala 667 merupakan calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Katanya, terdapat 21 calon dari sekolah agama negeri, 242 calon sekolah swasta dan 842 calon persendirian serta empat calon lain yang mempunyai masalah kesihatan terpaksa menjalani peperiksaan di hospital.

"Selain itu 65 calon berkeperluan khas iaitu empat kurang daya penglihatan (rabun), sembilan kurang pendengaran (pekak, bisu) dan 52 lagi calon autisme dan kecacatan turut mengambil pemeriksaan itu," katanya.