Kenaikan gaji mampu kurangkan rasuah, pelihara integriti

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Gaji penjawat awam perlu dinaikkan bagi memenuhi keperluan asas hidup masyarakat sekali gus dapat mengurangkan gejala rasuah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, individu berdepan tekanan kewangan mungkin terpaksa membuat pilihan termasuk menerima rasuah atau berhutang bagi memenuhi keperluan keluarga.

Katanya, terdapat kaitan yang tinggi antara faktor rasuah dan kos sara hidup.

"Ia menunjukkan bahawa masalah rasuah sering kali berkait rapat dengan tekanan kewangan dan ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat.

"Oleh itu, komitmen terhadap peningkatan gaji penting dalam memastikan anggota polis dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat sambil memelihara integriti dan profesionalisme," katanya.

Baru- baru ini, tular satu video di YouTube ‘THREAD the globe’ yang memaparkan seorang anggota polis trafik meminta dan mengambil RM100 daripada pasangan pelancong dari United Kingdom akibat kesalahan memandu laju.

Dalam video itu, anggota polis terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu melebihi had laju iaitu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Jais berkata, perlakuan anggota yang dirakam video mengambil rasuah itu benar-benar menjejaskan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

"Memahami akar masalah dan menyediakan penyelesaian yang holistik adalah penting dalam usaha memerangi rasuah dan memupuk integriti dalam masyarakat.

"Dengan meneruskan percambahan idea dan kritikan membina, MCW boleh memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan perubahan positif dalam sistem sosioekonomi dan perundangan," ujarnya.