Tiga penjawat awam antara 780 ditahan positif dadah

Kumar menunjukkan sebahagian daripada mereka yang ditangkap kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Kumar menunjukkan sebahagian daripada mereka yang ditangkap kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga penjawat awam antara 780 individu yang diberkas polis dalam dua operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah di seluruh negeri baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, menerusi operasi khas tersebut polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 27 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai hampir RM3.1 juta.

"Menerusi Op Tapis Khas bermula jam 12 tengah malam pada 29 Januari sehingga jam 12 tengah malam pada 31 Januari lalu, seramai 175 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menjalankan pemeriksaan terhadap 513 individu.

"Daripada jumlah itu, seramai 440 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 55 kes bekalan dadah, 65 kes memiliki dadah dan 320 orang penagih.

"Kesemua tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 70 tahun, seramai 36 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Beliau berkata, selain itu 30 tokan ditangkap dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 manakala dua penjawat awam ditangkap kerana memiliki dadah dan ujian air kencing mendapatinya positif.

Dalam serbuan itu juga katanya, polis merampas serbuk ekstasi seberat 23.6kg; syabu (278.26g), heroin (191.38g); ganja (210.27g); pil erimin 5 (386.99g), ketamin (997.4g); pil yaba (17.84g); pil ekstasi (9.5g) dan air ketum sebanyak 15 liter.

Katanya, polis turut menyita tujuh kenderaan dan wang tunai bernilai RM82,314.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kumar berkata, menerusi Op Bersepadu bersama-sama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negeri jam 12 tengah malam Jumaat sehingga 12 tengah malam Sabtu, seramai 210 pegawai dan anggota daripada kedua-dua pihak terlibat menjalankan pemeriksaan ke atas 351 individu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 340 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 35 kes bekalan, 56 memiliki dadah dan 249 orang penagih.

"Kesemua tangkapan berusia 18 hingga 70 tahun, enam daripadanya adalah warga asing. 21 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, 17 yang ditahan merupakan orang dikehendaki.

"Seorang penjawat awam itu ditahan kerana memiliki dadah dan positif urin. Polis turut merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu, pil erimin 5, pil ekstasi dan pil yaba dengan berat lebih 550g dengan nilai RM39,060," katanya.