JMB, MC Main Place dikompaun gagal adakan AGM

Mohd Fauzi (kanan) ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MBSJ, pada Rabu.
Mohd Fauzi (kanan) ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MBSJ, pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan tiga kompaun ke atas pengurusan bangunan Main Place, USJ 21 selepas gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan tahunan (AGM) mengikut tempoh ditetapkan.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBSJ mendapati Perbadanan Pengurusan (MC) servis apartmen itu gagal mengadakan AGM ke-2 serta ke-3 pada 2021 dan 2023.

Menurutnya, kompaun dikeluarkan selaras Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang menjelaskan AGM perlu diadakan sekali setahun dengan syarat tidak lebih daripada 15 bulan.

"Selain itu, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Main Place turut dikompaun atas kegagalan memfailkan bon kepada COB kerana telah melantik pengurus harta tidak berdaftar dari tahun 2017 hingga 2019.

"Ia selaras subperaturan 21(5), Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015, Akta 757," katanya pada Mesyuarat Penuh MBSJ pada Rabu.

Beliau berkata, notis tawaran kompaun sebanyak RM25,000 dikenakan bagi setiap kesalahan dan diberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan kompaun.

"Jika tiada pembayaran dibuat, tindakan pendakwaan boleh diambil terhadap orang kena kompaun (OKK).

"Jika sabit salah, OKK boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, MBSJ merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang berjaya mengkompaun JMB dan MC kerana kegagalan mengadakan AGM serta memfailkan bon kepada COB.

"Penguatkuasaan itu diadakan bagi mendidik JMB dan MC mengadakan AGM kerana ia penting untuk kelestarian penghuni strata untuk bersama-sama menjaga kawasan kediaman mereka.

"Justeru, MBSJ menyeru semua JMB dan MC melaksanakan kewajipan sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta 757 bagi mengelakkan tindakan kompaun dan pendakwaan di mahkamah," katanya.